Wednesday, April 1, 2009

KONTRAK SOSIAL

Setiap rakyat Malaysia khususnya ahli politik seharusnya lebih sensitif terhadap perasaan dan sensitiviti pelbagai kaum di Malaysia bagi menjamin keharmonian dan kestabilan negara ini.

Politik Malaysia ternyata stabil dan rakyat seharusnya menghargai situasi ini. Oleh kerana hubungan kaum melibatkan sensitiviti ini maka peraturan asas yang disebut Kontrak Sosial telah disuntik ke dalam Perlembagaan Negara dan juga Perlembagaan Negeri.

Sekiranya ada di kalangan masyarakat yang cuba mempersoalkan mengenai Kontrak Sosial ini khususnya kedudukan dan keistimewaan orang Melayu, mereka terlebih dahulu perlu mengkaji sejarah pembentukan Negara Malaysia.

Kontrak Sosial merupakan persefahaman di antara kaum Melayu dan Bukan Melayu yang dicapai oleh pemimpin-pemimpin terdahulu yang bertanggungjawab membina negara ini.

Keunikan Malaysia ini tidak seharusnya dibandingkan dengan negara lain. Sebarang usaha mengubahnya akan membawa kesan negatif dan menjejaskan keharmonian negara.

Mempersoalkan status Kontrak Sosial hanya akan mengundang musibah kepada kestabilan sosial dan ekonomi negara. Kontrak Sosial telah memelihara rakyat sepanjang 51 tahun kemerdekaan negara. Maka tidak ada sebab untuk kita mempersoalkan statusnya.

Keharmonian dan kestabilan nasional yang dikecapi oleh setiap rakyat pada hari ini adalah bukti jelas kesan daripada persefahaman dan perasaan hormat menghormati di kalangan masyarakat berbilang kaum ini.

Kontrak Sosial merujuk kepada perjanjian yang dibuat oleh pemimpin terdahulu dan dimuatkan di dalam Perlembagaan. Kontrak Sosial boleh dirujuk di dalam Artikel 14-18 Perlembagaan, mengenai kewarganegaraan Bukan Melayu dan artikel 153 mengenai hak dan keistimewaan orang Melayu.
Pada 1956, Suruhanjaya Perlembagaan yang diterajui oleh Lord Reid telah bertanggungjawab menggubal Perlembagaan untuk kemerdekaan Tanah Melayu. Dalam proses tersebut, UMNO yang merupakan peneraju dalam Perikatan UMNO-MCA-MIC telah bersetuju bahawa kewarganegaraan adalah untuk seluruh rakyat di dalam Persekutuan yang telah membolehkan semua rakyat (di dalam Tanah Melayu) layak mendapat kewarganegaraan sama ada yang lahir di Tanah Melayu atau mereka yang memenuhi syarat dan bersumpah untuk taat setia kepada Tanah Melayu.

Pemimpin di dalam ketiga-tiga parti (UMNO, MCA dan MIC) telah bersetuju untuk menyelesaikan perbezaan di antara kaum dan mengemukakan satu suara kepada Suruhanjaya tersebut. Ini merupakan asas dan permulaan Kontrak Sosial di antara pemimpin UMNO dan MCA. MCA bersetuju agar hak keistimewaan orang Melayu dipertahankan dan sebagai balasan, UMNO pula bersetuju agar orang Cina dan lain-lain kaum Bukan Melayu diberikan taraf kewarganegaraan berdasarkan prinsip jus soli. Orang Cina juga dibenarkan untuk terus memainkan peranan utama dalam bidang ekonomi.

Kertas Cadangan Suruhanjaya Reid telah dikeluarkan pada 1957 dan kemudiannya dikaji dan dipinda oleh Suruhanjaya Kerja Tanah Melayu dan wakil Perikatan, Raja-Raja Melayu dan Kerajaan British di dalam sebuah mesyuarat di London. Ianya dikenali sebagai Perlembagaan Kemerdekaan. Yang Dipertuan Agong bertanggungjawab memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan memperkenankan kepentingan anggota masyarakat yang lain.

Sebelum pembentukan Persekutuan Tanah Melayu pada 1963, satu lagi proses Perlembagaan telah diusahakan dengan Borneo Utara (sekarang Sabah) dan Sarawak pada 1962. Daripada proses ini, lahir satu lagi Kontrak Sosial (termasuk Laporan Suruhanjaya Cobbold) yang sama dengan persetujuan pada 1956-57.

Teras di dalam Kontrak tersebut seperti yang dinyatakan di dalam memorandum yang diserahkan oleh Perikatan iaitu Islam dijadikan agama rasmi negara dengan tidak mengganggu dan menjejaskan agama-agama lain yang dianuti oleh orang Bukan Islam.

Perlembagaan Kemerdekaan jelas menjadi kerangka utama dalam pembentukan Perlembagaan Persekutuan 1963. Dokumen tersebut terus memelihara hak dan keistimewaan orang Melayu, bahasa Melayu dan agama Islam tanpa menjejaskan hak kaum lain.

Sebagai kesimpulannya, Perlembagaan yang diasaskan pada 1957 dan 1963 melalui perundingan dan persetujuan pemimpin-pemimpin terdahulu adalah berdasarkan Kontrak Sosial yang menjadi asas pembentukan negara.

1 comment:

Anonymous said...

Tiada negara lain di dunia ini yang rakyatnya berbilang bangsa dan berlainan agama boleh membangun dan maju kecuali Malaysia. Malaysia ada perlembagaan yang dijaga dan dihormati oleh semua kaum. Yang tak faham atau sengaja tak mau faham hanya pemimpin pakatan la...mengkucarkacirkan kontrak sosial untuk kepentingan dan ketamakan peribadi....tamak kuasa!!!

 
Load Counter
massage chair