Monday, August 17, 2009

1 MALAYSIA



1 MALAYSIA

1. Pengenalan

Bagi menghadapi cabaran globalisasi yang melanda seluruh dunia, Malaysia perlu bangkit, berfikir dan bertindak sebagai satu bangsa iaitu bangsa Malaysia yang berkongsi satu matlamat yang sama iaitu untuk membina sebuah negara yang lebih aman, maju, selamat dan makmur serta mampu bersaing dengan bangsa-bangsa lain di peringkat antarabangsa.

Justeru itu, 1 MALAYSIA yang berpaksikan kepada konsep Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan telah diperkenalkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Gagasan 1 MALAYSIA ini amat bertepatan dan sejajar dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip-Prinsip Rukun Negara.

2. Definisi

”Kita berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita” – Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.

Dalam memberikan definisi, kenyataan tersebut perlu dibahagi kepada dua bahagian :

i) Kita berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia = Rakyat majmuk perlu berfikir dan bertindak melepasi sempadan kaum, kepentingan dan budaya masing-masing.

ii) Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita = Kepimpinan negara akan melayani dan memenuhi segala keperluan dan hak rakyat tanpa mengira kaum dan etnik.

3. Matlamat

Mengekal dan meningkatkan perpaduan kaum yang akan dijadikan senjata dan perisai untuk kita menghadapi sebarang cabaran.

Mewujudkan sebuah Kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan dan kepentingan rakyat.

4. 3 Prinsip Teras

i) Prinsip Penerimaan

Rakyat pelbagai kaum yang berbeza agama, budaya, cara hidup dan amalan menerima kewujudan dan kehadiran kaum lain sebagai rakan setia. Sanggup berkongsi kemakmuran negara.

ii) Prinsip Kenegaraan

Prinsip ini bukanlah sesuatu yang baru. Ia adalah prinsip yang telah wujud sejak dari era kemerdekaan dan telah dizahirkan oleh pucuk pimpinan negara sejak dari itu.

- Tunku Abdul Rahman bersama-sama Tun Tan Cheng Lock dan Tun VT Sambanthan berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu. Mereka tidak berjuang untuk memerdekakan bangsa masing-masing tetapi berjuang untuk memerdekakan sebuah NEGARA.

- Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru yang diilhamkan oleh Tun Abdul Razak pula adalah bertujuan untuk menyatupadukan rakyat demi kestabilan politik, ekonomi dan sosial NEGARA.

- Meneruskan dan memperkukuhkan usaha menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum demi kemajuan NEGARA sehingga diberi jolokan Bapa Perpaduan.

- Tun Dr. Mahathir Mohamad telah memacu NEGARA ke arah sebuah Negara maju dan telah menjadikan tahun 2020 sebagai sasaran.

- Tun Abdullah Ahmad Badawi melalui konsep Cemerlang, Gemilang, Terbilang telah memupuk semangat cintakan NEGARA dan kesepakatan di kalangan rakyat yang berbilang bangsa, agama dan budaya.

iii) Prinsip Keadilan Sosial

Setiap rakyat tanpa mengira latar agama dan kaum akan diberi keadilan kebajikan dan sosial sebaik mungkin.

Setiap wakil rakyat bertindak melepasi sempadan kaum masing-masing dan melebarkan khidmat mereka kepada kaum-kaum lain.

Walau bagaimanapun, prinsip ini bukanlah platform bagi mana-mana pihak untuk membuat tuntutan yang keterlaluan dan tidak rasional sehingga boleh menjejaskan kestabilan Negara.

5. 8 Nilai 1 MALAYSIA

i) Budaya Kecemerlangan

Kejayaan sesebuah negara bergantung kepada budaya kecemerlangan rakyatnya. Semakin tinggi budaya kecemerlangan itu maka semakin berjayalah negara tersebut.

Budaya Kecemerlangan perlu diamalkan secara konsisten dan berterusan bagi memastikan kejayaan akan terus dinikmati tanpa henti dan akan terus meningkat.

Prinsip ketepatan merupakan elemen utama dalam menjamin kecemerlangan. Prinsip ini termasuklah ketepatan pengurusan masa, jadual penyampaian, pembentukan keputusan dan sebagainya. Sistem Petunjuk Utama (KPI) dijadikan kayu pengukur yang sistematik dalam memastikan ketepatan ini tercapai.

Ketepatan dalam semua bidang khususnya dalam sistem perdagangan dunia yang berteraskan import dan eksport akan menjadikan negara asing mengiktiraf keberkesanan dan kualiti Malaysia.

ii) Ketabahan

Ketabahan dan ketekunan amat diperlukan dalam usaha untuk membina sebuah negara bangsa yang kukuh. Segala dugaan dan cabaran perlu dihadapi dengan penuh kesabaran sama ada oleh pemimpin mahu pun rakyat.

Semangat kerja keras, dedikasi dan komited adalah ramuan terbaik untuk mencapai sesuatu matlamat.

Ketabahan juga amat perlu dalam memperbaiki peribadi bagi memperbetulkan kesilapan terdahulu atau kegagalan silam.

Pendekatan dan usaha yang kreatif perlu diambil dalam menghadapi kegagalan dan seterusnya menghasilkan perubahan yang lebih besar dan mantap.

iii) Rendah Hati

Rendah hari atau Tawadduk amat dituntut di dalam Islam. Begitu juga dengan agama-agama lain.

Rendah hati tidak bermakna kita perlu tunduk atau mengalah dengan orang lain tanpa alasan yang rasional.

Kelebihan dan kemampuan diri tidak boleh ditonjolkan dan dibanggakan dengan cara yang tidak disenangi oleh orang lain.

Apabila berada di luar negara serta berurusan dengan masyarakat luar, sikap merendah diri perlu dielakkan untuk mencerminkan kekuatan, keyakinan dan kemampuan kita sebagai rakyat Malaysia tetapi bukan dengan cara kekasaran dan penindasan.

iv) Penerimaan

Penerimaan dan toleransi adalah dua perkara berbeza. Penerimaan memperlihatkan perlakuan positif yang menerima sepenuhnya sesuatu perkara dengan keikhlasan hati tanpa sebarang unsur paksaan. Toleransi pula berlaku apabila sesuatu pihak tiada pilihan lain dan terpaksa menerima sesuatu keadaan tanpa kejujuran total.

Penerimaan semua kaum untuk mendapatkan sesuatu yang terbaik amat penting bagi membina sebuah negara bangsa. Perkara-perkara terbaik daripada Melayu, Cina, India dan lain-lain perlu diterimapakai serta mendapat penerimaan daripada keseluruhan masyarakat negara ini.

Semua program dan peruntukan kewangan daripada kerajaan akan diagihkan secara adil, menyeluruh dan saksama tanpa mengira batas keturunan, agama dan fahaman politik. Begitu juga dengan agihan lain seperti peluang pendidikan, biasiswa, subsidi, bantuan kewangan dan agihan projek.

Pembangunan diri tanpa mengambil kira jantina dan latar etnik sebaliknya ditentukan oleh keupayaan peribadi dan bakat seseorang.

v) Kesetiaan

Sejajar dengan prinsip kedua Rukun Negara iaitu KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA. Prinsip ini perlu dipegang teguh dan dijunjung tinggi melebihi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri.

Rakyat yang tidak menunjukkan kesetiaan kepada pemimpin akan menyebabkan Negara hancur.

Pemimpin perlu menghindari sikap sombong dan tidak mahu menerima kritikan atau teguran. Kritikan pula perlu diluahkan dengan niat dan cara yang baik agar segala kelemahan dan kesilapan dapat diperbaiki untuk kebaikan bersama.

Kesetiaan atau perhubungan yang membuta tuli tanpa sebarang kemajuan perlu dihindari.

Kesetiaan yang berorientasikan cara mengampu juga perlu dijauhi agar tidak disalahgunakan oleh pihak yang sering mengambil kesempatan.

vi) Meritokrasi

Meritokrasi merupakan satu hala tuju yang perlu diamalkan di dalam negara demokrasi bagi memastikan mereka yang layak dan memenuhi kriteria diberi peluang untuk membangunkan Negara. Walau bagaimanapun dalam keadaan tertentu kerajaan masih perlu membantu golongan yang kurang bernasib baik atau ketinggalan dari segi peluang menikmati pembangunan arus perdana.

Meritokrasi menekankan persaingan secara terbuka berasaskan kriteria yang ditetapkan. Pemilihan berasaskan prestasi budaya cemerlang akan memaksimumkan potensi Negara dalam semua bidang.

Prinsip ini akan membudayakan masyarakat Malaysia dalam menghadapi cabaran globalisasi dan liberalisasi.

vii) Pendidikan

Ilmu dan pendidikan adalah kunci kejayaan sesebuah negara. Kekuatan dan ketahanan masyarakat yang berasaskan ilmu dan pendidikan adalah lebih ampuh berbanding kekuatan ketenteraan.

Budaya membaca dan juga budaya pembelajaran sepanjang hayat berupaya melahirkan rakyat yang terbuka mindanya.

Sekolah aliran kebangsaan telah ditakrifkan semula untuk memasuki sekolah vernakular. Manakala Sekolah Kebangsaan, Sekolah Cina dan Sekolah Tamil perlu sentiasa mencari peluang untuk berinteraksi sesama sendiri melalui anjuran aktiviti secara bersama.

Kurikulum yang dibangunkan untuk ketiga-tiga aliran hendaklah menekankan nilai-nilai bersama yang perlu dipupuk untuk merealisasikan 1 MALAYSIA.

viii) Integriti

Amat penting dalam membina kepercayaan dan keyakinan rakyat. Nilai ini perlu diamalkan oleh semua pihak daripada pucuk pimpinan negara hinggalah kepada rakyat di peringkat akar umbi.

Kebenaran perlu ditegakkan walaupun amat pahit dan sukar diterima.

Mengenepikan sebarang kepentingan peribadi dalam segala tindakan dan perlakuan. Kepentingan Negara perlu diutamakan mengatasi kepentingan lain.

6. Penutup

Semua kaum perlu melihat bahawa mereka adalah bangsa Malaysia yang mana segala-galanya perlu dinikmati bersama. Tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati kemajuan dan pembangunan arus perdana serta pembelaan daripada kerajaan.

Pembinaan negara bangsa bagi sebuah negara berbilang kaum adalah amat penting terutama dalam era globalisasi yang membenarkan pengaliran maklumat, modal, nilai, budaya dan kepercayaan secara bebas dan pantas. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan.

 
Load Counter
massage chair