Sunday, April 5, 2009

SIRIH PULANG KE GAGANG


Tanggal 28 Mac 2009 menyaksikan tercatatnya satu sejarah apabila Bekas Perdana Menteri Malaysia dan Bekas Presiden UMNO-Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir bin Mohamad beserta isteri muncul di dalam Perhimpunan Agong UMNO yang diadakan di PWTC.

Sejarah sekali lagi terukir apabila pada tanggal 4 April 2009, Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir kembali semula ke pangkuan UMNO. Perdana Menteri Malaysia dan Presiden UMNO yang baru-Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah menerima borang keahlian beserta RM2.00 dari Tun Dr. Mahathir.

Seperti juga kebanyakan ahli UMNO dan parti komponen BN yang lain yang keluar meninggalkan BN, Tun Dr. Mahathir keluar meninggalkan parti bukan kerana tertarik dengan perjuangan dan manifesto pembangkang tetapi kerana kecelaruan dan masalah dalaman yang berlaku di dalam UMNO serta parti komponen BN yang lain.

Ini amat jelas apabila Tun Dr. Mahathir melalui beberapa siri, menzahirkan pandangan beliau mengenai kecelaruan dan kebobrokkan yang dicetuskan oleh ahli keluarga UMNO sendiri. Betapa UMNO perlu dirawat segera jika ahlinya tidak mahu melihat UMNO berkubur tanpa nisan.

Tun Dr. Mahathir bukan sahaja masuk semula ke dalam UMNO malah membantu jentera BN dalam menawan Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai. Beliau sendiri turun padang dan bertemu dengan rakyat bagi meraih semula kepercayaan dan sokongan rakyat untuk berdiri semula di belakang BN.

Ini merupakan bukti bahawa Tun Dr. Mahathir tidak pernah melupakan UMNO dan BN. Kecintaan seorang negarawan terhadap partinya ini adalah contoh terbaik yang perlu diikuti oleh semua ahli BN khususnya mereka yang telah keluar dari parti tersebut.

Justeru, kepada semua anggota BN yang telah keluar meninggalkan bahtera BN, renungkanlah. Sekiranya seorang bekas pemimpin yang pernah memimpin sebuah negara dan sebuah parti telah kembali semula ke dalam parti atas dasar mempercayai sepenuhnya pucuk pimpinan baru negara dan parti, anda juga perlu melakukan perkara yang sama.

Kini tibalah masanya untuk anda semua masuk semula ke dalam BARISAN agar SAF pentadbiran negara akan lebih kukuh dan ampuh demi melahirkan SATU MALAYSIA.

SIAPA PENDERHAKA SEBENAR?


Allahyarham Tan Sri Ghazali Jawi telah mengundurkan diri sebagai Menteri Besar atas nasihat Allahyarham Tun Hussein Onn pada 30 September 1977 selepas Sultan Perak-Almarhum Sultan Idris Shah tidak memperkenalkan perlantikan beliau.

Ir. Nizar Jamaluddin enggan meletakkan jawatan walaupun dititahkan oleh Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang mendapati Nizar tidak lagi mendapat sokongan majoriti ADUN.

Tan Sri Ghazali patuh kepada pucuk pimpinan dan Raja-Raja Melayu kerana tidak mahu kepimpinan negara serba salah dan tidak mahu menyusahkan rakyat atau pemimpin negeri.

Ir. Nizar berdegil tidak mahu melepaskan jawatan Menteri Besar malahan dengan angkuh mencabar Sultan Perak dengan ungkapan : "Ampun Tuanku, patik mohon derhaka...". Ungkapan itu bukti nyata beliau derhaka.

Tan Sri Ghazali memberi pengiktirafan kepada Menteri Besar yang baru dilantik.

Ir. Nizar tetap membantah walaupun Menteri Besar Perak yang baru sudah menerima watikah perlantikan daripada Paduka Seri Sultan Perak pada 6 Februari 2009. Ir. Nizar juga enggan keluar dari rumah kediaman, enggan memulangkan kereta rasmi dan cuba memasuki semula Pejabat Menteri Besar, bukti kukuh beliau ingkar dan derhaka kepada titah Sultan Perak.

Tiada demonstrasi jalana berlaku semasa Tan Sri Ghazali meminta penyokongnya bertenang dan menghormati keputusan Sultan Perak.

Kerana gila kuasa, penyokong Ir. Nizar membuat demonstrasi jalanan, menyekat laluan Raja Muda Perak masuk ke istana, baring di atas jalan, menimbulkan huru-hara, memaki hamun, menyerang dan menakut-nakutkan orang awam, bertindak liar dan pecahkan harta awam.

Sehingga hari ini, Ir. Nizar masih berdegil. Maka siapakah yang sebenarnya PENDERHAKA?

MENJAWAB PUTARBELIT PAS MENGENAI ISU DERHAKA

RAJA DAN UMNO SATU KELUARGA

UMNO tidak pernah menderhaka kepada Raja. UMNO dilahirkan di Istana Besar Johor pada tahun 1946 kerana Al-Marhum Sultan Johor sangat sayangkan UMNO sehingga bersetuju membenarkan istana baginda dijadikan tempat perisytiharan kelahiran UMNO. Sama sekali UMNO tidak derhaka kepada Raja Melayu kerana Raja-Raja Melayu umpama 'bapa kepada UMNO'.

UMNOlah yang menyelamatkan Raja-Raja Melayu daripada dihapuskan oleh British melalui cadangan penubuhan Malayan Union pada tahun 1947. British cuba menggantikan kuasa Raja Melayu dengan Malayan Union tetapi dibantah UMNO.

Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 mengekalkan kuasa Raja Melayu. Wujud sistem Raja Berperlembagaan yang memberi kuasa kepada Raja Melayu sebagai Ketua Pemerintah dan tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan.


TEGURAN PERKASA RAJA

UMNO menegur Raja-Raja Melayu pada tahun 1990 untuk mengembalikan maruah institusi Raja Melayu supaya Raja-Raja Melayu tidak digunakan oleh pihak tertentu. Teguran itu memperjelaskan hak-hak Raja Melayu dalam Perlembagaan.

Kuasa Raja-Raja Melayu tidak diubah. Imuniti Raja dalam perundangan tidak diubah. Yang diperjelaskan adalah apabila sesuatu rang undang-undang tidak ditandatangani oleh Raja-Raja Melayu dalam masa tertentu, ia boleh diluluskan oleh Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.

Pemimpin UMNO tidak seperti NIzar Jamaluddin yang ingkar, degil dan biadap hingga SANGGUP DERHAKA DAN ENGGAN MOHON MAAF KEPADA PADUKA SERI SULTAN PERAK SEHINGGA SEKARANG.


Saturday, April 4, 2009

GADAI TANAH?

Soal tanah sentiasa menjadi isu yang hangat dan sensitif di kalangan rakyat Malaysia khususnya di kalangan orang Melayu. Yang terbaru isu ini digembar-gemburkan oleh PR di Bukit Gantang sempena Pilihan Raya Kecil parlimen tersebut. PR menuduh BN menggadai tanah untuk kepentingan peribadi pemimpin-pemimpin BN.

Kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya pengundi di Bukit Gantang, adalah menjadi satu kebijakkan sekiranya anda tidak menelan bulat-bulat tuduhan tersebut. Pemerhatian, kajian dan renungan sedalam-dalamnya perlu dilakukan sebelum membuat sebarang keputusan.

PR telah memberikan hak pemilikan tanah selama 99 tahun kepada beberapa individu di Perak. Sekali imbas memang tindakan tersebut dilihat amat prihatin terhadap keperluan sesetengah individu. Tetapi jika diperhalusi, bukankah pemberian hak milik tanah kepada individu secara membuta tuli itu menyebabkan berlakunya ketidakadilan kepada masyarakat keseluruhannya? Apakah adil jika PR hanya memenuhi keperluan beberapa individu tetapi dalam masa yang sama mengabaikan keperluan majoriti masyarakat yang lain?

Tanah adalah sumber yang amat berharga dan terhad. Tanah sepatutnya diuruskan dengan bijak dan optimum bagi memastikan manfaat dapat dicapai pada tahap paling maksimum.

Contohnya sebidang tanah yang berpotensi untuk dimajukan adalah lebih sesuai jika dijadikan kawasan perindustrian. Kilang-kilang yang bakal dibina di kawasan perindustrian tersebut bukan sahaja akan menjana pendapatan negara malah turut membuka peluang pekerjaan khususnya kepada anak tempatan.

Limpahan kemakmuran ekonomi di kawasan perindustrian tidak terhenti setakat itu sahaja. Apabila kawasan tersebut telah menjadi tumpuan orang ramai khususnya para pekerja, maka akan timbul pula jaringan kemudahan yang lain seperti jalan raya, rumah kediaman, sekolah, klinik, premis perniagaan dan sebagainya. Bukankah ini lebih memberi manfaat kepada rakyat dalam jumlah yang lebih besar?

Berbanding jika tanah tersebut diberikan hanya kepada individu tertentu. Sudah pasti penggunaan tanah tersebut lebih bersifat peribadi. Pemilik tanah yang baru itu pasti tidak akan membina kilang di tanah miliknya itu sebaliknya akan membina sebuah rumah untuk kegunaan peribadi dan keluarganya sahaja. BUKANKAH INI SATU PEMBAZIRAN?

Situasi ini diburukkan lagi dengan tempoh pemberian yang tidak masuk akal iaitu selama 99 tahun. Pemilikan selama ini pasti akan mengganggu perancangan bandar khususnya di peringkat tempatan dan negeri. Dalam tempoh tersebut, sebarang perancangan untuk memajukan kawasan tersebut tidak dapat dilaksanakan sewenang-wenangnya tanpa kebenaran pemilik tanah tersebut.

Maka, berdasarkan hujah di atas, mari kita kembali kepada persoalan asal. SIAPA SEBENARNYA YANG MENGGADAI TANAH UNTUK KEPENTINGAN PERIBADI? PR atau BN?

TOPENG

Kebelakangan ini, PR serta penyokong-penyokongnya cenderung menggunakan topeng ketika berkempen. Topeng yang sering digunakan ialah topeng yang menyerupai wajah pemimpin utama mereka khususnya calon PAS iaitu Datuk Seri Ir. Mohd Nizar Jamaluddin yang akan bertanding di dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gantang. Tidak ketinggalan topeng berwajah wanita Mongolia-Altantuya Shaariibuu yang tujuannya jelas untuk menghina dan mengaitkan wanita tersebut dengan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Apakah ini yang dikatakan kempen yang matang dan berhemah? Umum mengetahui bahawa topeng merupakan alat permainan kanak-kanak. Apakah yang mereka cuba sampaikan? Apakah mereka cuba menggambarkan kepada rakyat bahawa mereka GEMAR PERMAINAN KANAK-KANAK INI KERANA KEMATANGAN MEREKA JUGA ADALAH SEPERTI KANAK-KANAK?

Topeng juga sering digunakan sebagai salah satu alat oleh kumpulan perompak ketika melakukan rompakan. Apakah mereka cuba memberitahu rakyat bahawa MEREKA TERTARIK DENGAN MODUS OPERANDI YANG BIASA DIGUNAPAKAI OLEH PEROMPAK KETIKA MEROMPAK?

Jika dikaji dengan lebih mendalam, topeng merupakan perlambangan kegusaran seseorang individu untuk menyerlahkan wajah sebenar mereka. Seseorang yang tidak ingin dikenali atas sebab-sebab tertentu biasanya akan memilih topeng sebagai pelindung wajah sebenar mereka. Apakah mereka cuba memberitahu rakyat bahawa WAJAH SEBENAR DAN SIKAP SEBENAR PEMIMPIN MEREKA ADALAH AMAT HODOH SEHINGGA TERPAKSA BERSEMBUNYI DI SEBALIK TOPENG?

Jadi sebelum anda mengambil keputusan untuk keluar ke jalanan dengan memakai topeng, fikirkan dahulu persoalan-persoalan yang dikemukan di atas.


APA YANG MEREKA MAHU SEBENARNYA?

23 Mac 2009 yang lalu, akhbar Harakah telah digantung dari pasaran. Ini diikuti dengan akhbar Suara Keadilan. Tindakan tersebut diambil kerana didapati kedua-dua akhbar ini menyiarkan berita dan maklumat yang tidak tepat dan mengelirukan.

Dan tidak sampai 12 jam selepas mengangkat sumpah jawatan, taat setia dan simpan rahsia sebagai Perdana Menteri Malaysia Keenam, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah mengumumkan keputusan menarik balik penggantungan kedua-dua akhbar tersebut.

Tindakan ini jelas menunjukkan kesungguhan pentadbiran baru negara dalam menyokong hak dan kebebasan bersuara di sebuah negara beracuankan demokrasi seperti Malaysia.

Walau bagaimanapun, tindakan dan pendekatan murni ini dipandang serong. Ironinya pandangan serong ini dipromosikan oleh PR yang satu ketika dahulu amat lantang 'menjerit' agar penggantungan tersebut ditarik semula.

Mereka mendakwa tindakan menarik semula penggantungan kedua-dua akhbar tersebut adalah tindakan populis pucuk pimpinan baru yang tujuannya tidak lain ialah untuk meraih sokongan rakyat Malaysia khususnya di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai.

Bukankah ini sesuatu yang mengelirukan? Jika penggantungan tidak ditarik semula, BN dikatakan menyekat kebebasan bersuara. Setelah penggantungan ditarik semula, BN dikatakan mengejar populariti dan ingin meraih sokongan rakyat. Pendek kata apa sahaja yang dilakukan oleh BN, pihak yang dikepalai oleh PR sentiasa tidak berpuas hati.

Ini membawa kepada persoalan baru iaitu APA SEBENARNYA YANG MEREKA MAHUKAN DAN APAKAH SEBENARNYA YANG MEREKA PERJUANGKAN?

Dan kepada seluruh warga Malaysia khususnya pengunjung blog ini, adakah pemimpin sebegini yang anda inginkan untuk memimpin anda dan anak cucu anda nanti?

Friday, April 3, 2009

TANAH SEKOLAH PERSENDIRIAN DI PERAK

Tiada penjelasan yang lengkap dari Kerajaan Pakatan Rakyat Perak ketika mereka menguasai Perak mengenai soal pemberian tanah kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC), Sekolah Agama Rakyat Persendirian (SARP), Sekolah Tahfiz Al-Quran & Sekolah Pondok di Perak sama ada dari segi istilah, fakta dan angka yang sebenar.

Akibatnya rakyat Perak khususnya dan rakyat Malaysia amnya menjadi keliru. Jika ditinjau penulisan blog-blog yang pro Pakatan Rakyat (PR) jelas banyak kekeliruan yang mana menjurus kepada pihak umum menuduh bahawa kerajaan BN kejam. Ini satu lagi persepsi negatif yang cuba ditanam oleh pihak PR dalam usaha mereka membenam BN di Perak.

Kekeliruan yang asas ialah dari segi istilah. Ada yang menyamakan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) dengan SMPC. Begitu juga dengan Sekolah Agama Rakyat Bantuan Kerajaan (SAR) dengan SARP.

Ada yang secara tidak sedar mendakwa bahawa kerajaan melalui Kementerian Pelajaran mengabaikan kebajikan SMJKC dan SAR sedangkan maksud sebenarnya ialah SMPC dan SARP. Fakta yang tidak tepat ini mencalarkan imej kerajaan. Fakta sebenarnya, kerajaan mempunyai tanggungjawab jika dikaitkan dengan SMJKC dan SAR.

Maka mengaitkan atau menyamakan SMJKC dengan SMPC dan SAR dan SARP adalah sesuatu yang nyata tersasar. Jelasnya, keempat-empat entiti tersebut adalah berbeza. Atas sebab perbezaan inilah tanggungjawab kerajaan ke atas setiap entiti adalah berbeza. Yang anehnya segala jasa kerajaan terhadap SMJKC dan SAR dinafikan. Walhal Kementerian Pelajaran mempunyai tanggungjawab ke atas sekolah jenis tersebut. Mungkin ini disebabkan oleh tempias kekeliruan istilah ‘PERSENDIRIAN’ itu sendiri.

Berbalik kepada isu pemberian tanah kepada sekolah persendirian di Perak. Kerajaan PR ketika menguasai Perak telah meluluskan sejumlah 400 hektar tanah kepada 9 buah SMPC. Rentetan pertikaian hebat isu tersebut, MB Perak ketika itu iaitu Dato’ Seri Ir. Muhamad Nizar Jamaluddin telah mengumumkan bahawa 1,000 hektar tanah sedang dalam proses kelulusan untuk diagihkan kepada SARP, Sekolah Tahfiz Al-Quran dan Sekolah Pondok.

Sebelum itu kerajaan PR Perak mengumumkan keluasan tanah yang diluluskan bagi SAR persendirian ialah sejumlah 200 hektar iaitu bagi 18 buah sekolah yang terdiri daripada 9 Sekolah Menengah Agama Rakyat dan 9 Sekolah Agama Rendah. Perbandingannya adalah seperti berikut :

Keluasan Tanah SMPC = 400 hektar untuk 9 buah SMPC. Ini bermakna keluasan purata untuk setiap satu SMPC = 44 hektar (105 ekar).

Keluasan Tanah SARP = 200 hektar untuk 18 SARP yang terdiri daripada 9 Sek Men Agama Rakyat + 9 Sek Agama Rendah. Ini bermakna keluasan purata untuk setiap satu SARP = 11.11 hektar (26 ekar).

105 ekar dibandingkan 26 ekar? Bukankah bezanya itu terlalu besar? Keputusan kelulusan pemberian tanah ini adalah dibuat oleh ahli mesyuarat EXCO kerajaan negeri yang majoritinya DAP. Maka angka yang berat sebelah ke arah kaum Cina ini jelas menunjukkan kaum Melayu yang merupakan majoriti di Perak terpinggir di bumi sendiri. Hak Melayu nampaknya dipandang sepi. 26 ekar hanyalah gula-gula penyedap mulut Melayu Perak.

Mungkin ada yang berkata tidak sesuai membandingkan 400 hektar dengan 200 hektar. Keluasan tersebut hanya terdiri daripada keluasan tanah yang diluluskan untuk SMPC dan SARP. Kenapa tidak dibandingkan dengan 1000 hektar seperti yang diumumkan Nizar iaitu jumlah keseluruhan untuk SARP dan pelbagai institusi agama? Mari kita bandingkan pula angka 1000 hektar dan 400 hektar.

1000 hektar untuk katakan 40 buah sekolah dengan sejumlah 18 SARP, 15 Sekolah Tahfiz Al-Quran dan beberapa buah Sekolah Pondok (anggaran 7 buah). Setelah dibahagi iaitu 1000 hektar dibahagi 40 buah maka secara puratanya setiap sekolah tersebut akan mendapat hanya 25 hektar(59.5 ekar).

SMPC membolot 105 ekar tanah yang diluluskan atas alasan keadilan an menurut MB Perak ketika itu, Islam itu adil. Benar..Islam itu memang adil. Tapi yang tidak adil ialah Dato' Seri Nizar yang telah dipegang jari telunjuknya oleh DAP. Nizar menggunakan alasan Islam demi menutup isu kelemahan dirinya yang hanya berfungsi sebagai boneka DAP. Mana mungkin adil jika dilihat dan dibandingkan dengan apa yang diterima oleh orang Melayu berbanding orang Cina.

Justeru, pengundi-pengundi di Bukit Gantang khususnya orang Melayu perlu menilai dan menghayati isu ini sebelum membuang undi pada 7 April ini. Buka mata dan buka hati.

REHAT SEBENTAR..







KERAJAAN BN TIDAK RASUAH SEBALIKNYA MEMBANTERAS RASUAH

Rasuah berlaku di semua negara di dunia ini termasuklah di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat.

Di Malaysia, rasuah bukanlah menjadi isu yang serius berbanding dengan negara-negara membangun yang lain. Bagaimanapun, kerajaan memberi perhatian utama mengenai gejala tersebut bagi membenteras amalan itu daripada terus berleluasa.

Untuk itu, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2008 (SPRM 2008) diluluskan oleh Parlimen dan dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2009. Matlamat utama akta SPRM ialah untuk:

1) Menggalakkan intergriti dan kebertanggungjawaban pentadbiran sektor awam dan swasta dengan menubuhkan suatu badan pencegahan rasuah yang bebas dan bertanggung jawab.

2) Mendidik pihak berkuasa awam, pegawai awam dan orang awam tentang rasuah dan kesan buruknya terhadap pentadbiran sektor awam dan swasta serta komuniti.
Pada tahun 2008, SPRM telah membuat tangkapan ke atas sejumlah 605 orang.

Akademik Anti Rasuah Kebangsaan pula ditubuhkan pada 12 April 2007. Akademik ini menjadi pusat latihan pembenterasan gejala rasuah yang unggul.

Pelan Intergriti Nasional (PIN) pula dilaksanakan bagi menyediakan rangka kerja dan panduan strategi dan hala tuju kepentingan rakyat Malaysia, perkhidmatan awam, kerajaan, korporat dan etika perniagaan. PIN juga bertujuan memantau dan menanda aras, menilai prestasi tahunan mengikut piawai dan amalan yang selaras dengan ciri khusus masyarakat dan negara Malaysia di samping amalan antarabangsa.

Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat klip video berkaitan dakwaan campurtangan dalam perlantikan hakim. Ia secara tak langsung membuktikan kerajaan telus sekiranya terdapat sebarang kes yang diragui.

Suruhanjaya Aduan Khas ditubuhkan kerajaan bagi menangani aduan berhubung salah laku agensi penguatkuasa. Sejak pelaksanaan sistem ini lebih 2,000 penjawat awam telah dihukum atas dakwaan rasuah.

Ketelusan dan rasa tanggungjawab dalam sektor awam ditingkatkan menerusi penggunaan sistem tender yang diperluaskan. Garis Panduan Pelaksanaan Sistem Audit Nilai Dalam Perkhidmatan Awam juga dilaksanakan bagi tujuan meningkatkan intergriti di kalangan kakaitangan awam.

SUHAKAM yang dibentuk di bawah Akta Parlimen juga berperanan untuk memantapkan isu-isu intergriti.

Ketelusan kerajaan dalam membenteras rasuah diakui oleh Transparency International (TI) yang berpengkalan di Jerman. Mereka menyifatkan usaha kerajaan memerangi rasuah sebagai usaha yang bersungguh-sungguh dan komited. Mereka juga mengakui Malaysia, negara paling aktif membenteras gejala ini.

Dalam kelembapan ekonomi dunia hari ini, pelabur asing masih percaya Malaysia sebuah negara yang selamat dan ekonominya stabil. Para FDI atau pelabur asing terus mencatat pertambahan kerana keyakinan ke atas ekonomi negara yang mampan.

Sehubungan itu, kerajaan BN mengamalkan rasuah dan tidak berintergriti adalah dakwaan tidak berasas daripada pembangkang. Kerajaan BN sebenarnya bersungguh-sungguh memerangi gejala rasuah di Malaysia.

Thursday, April 2, 2009

TAHNIAH!!

Tahniah Yang Amat Berhormat Datuk Seri Haji Mohamad Najib bin Tun Abdul Razak - Perdana Menteri Malaysia.

Hari ini (3 April 2009), rasmilah Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohamad Najib bin Tun Abdul Razak dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke enam menggantikan Yang Amat Berbahagia Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi yang telah berkhidmat sebagai Perdana Menteri Malaysia ke lima bermula Oktober 2003.

Semoga Malaysia terus maju dan makmur di bawah pentadbiran Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohamad Najib bin Tun Abdul Razak.

Tahniah juga kepada Yang Amat Berbahagia Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi kerana telah menerima Darjah Kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara yang membawa gelaran Tun dan Yang Amat Berbahagia Tun Jeanne binti Abdullah kerana telah menerima Darjah Kebesaran Seri Setia Mahkota yang juga membawa gelaran Tun.

Sekali lagi..Tahniah dan selamat bertugas kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Haji Mohamad Najib bin Tun Abdul Razak - Perdana Menteri Malaysia.

SIRIH PULANG KE GAGANG

Kehadiran bekas Perdana Menteri Malaysia - Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad beserta isteri di Perhimpunan Agung UMNO baru-baru jelas menghantar satu isyarat kepada seluruh anggota UMNO khususnya dan kepada rakyat Malaysia amnya bahawa Tun masih lagi sayangkan UMNO sekaligus membuktikan bahawa UMNO masih relevan.

Sokongan Tun amat diperlukan di kala UMNO sedang dilanda pelbagai kemelut dalaman. Semoga sokongan ini berterusan dan akan terus membantu UMNO di bawah pimpinan baru dalam memajukan parti, bangsa dan negara.

TERIMA KASIH TUN..

MINI BAJET 2009 (RM60 BILION)

MINI BAJET 2009 merupakan satu akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perbelanjaan bagi perkhidmatan untuk sebahagian daripada tahun 2009 dan bagi memperuntukkan jumlah wang itu untuk maksud-maksud yang tertentu bagi bahagian tahun 2009.

Walaupun negara-negara maju telah mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi yang begitu besar melebihi US$3 trilion, sejumlah besar digunakan untuk menyelamatkan institusi kewangan dan syarikat gergasi mereka, namun masih belum dapat memulihkan keyakinan para pengguna dan pelabur.

Ekonomi Malaysia telah mencapai pertumbuhan yang menggalakkan sebelum ini kerana kita berjaya meningkatkan perdagangan antarabangsa.

Kejatuhan mendadak pasaran global telah menyebabkan kejatuhan pasaran saham Bursa Malaysia. Ini memberi kesan negatif kepada sektor perkhidmatan yang biasanya berkembang pada kadar yang tinggi serta mempengaruhi sentimen pelabur dan pengguna.

Kerajaan yakin bajet asal 2009 yang memperuntukkan sejumlah RM206 bilion serta Pakej Rangsangan pertama yang berjumlah RM7 bilion dan Pakej Rangsangan Kedua ini bertujuan mengurangkan kesan penguncupan ekonomi global ke atas ekonomi negara.

Memandangkan senario ekonomi global yang meruncing, maka Pakej Rangsangan kedua ini perlu bersifat lebih komprehensif dan bersaiz besar yang menjangkau lebih banyak sektor ekonomi dan kumpulan sasaran.

Rangsangan ini bukan sahaja memberi tumpuan kepada usaha merangsang ekonomi dalam tempoh terdekat tetapi merangkumi juga inisiatif membina kapasiti ekonomi jangka panjang.

Ini bukanlah kali pertama kita menghadapi krisis. Negara telah menghadapi pelbagai rintangan dan cabaran terutamanya dalam tahun 1969, 1972, 1986 dan 1997. Setiap krisis itu telah kita atasi dengan jayanya dan ekonomi telah muncul lebih kukuh.

Langkah ini telah meningkat potensi pertumbuhan negara yang telah membawa kepada kejayaan kita mencapai pertumbuhan ekonomi setinggi 9% pada awal 1990an. Kerajaan akan memastikan kedudukan fiskal kerajaan akan kembali mapan.

Bagi membantu golongan penganggur, kerajaan akan mewujudkan sebanyak 163,000 peluang latihan dan penempatan pekerjaan di sektor awam dan swasta.

Kerajaan juga akan melaksanakan penempatan pekerjaan dan memberi insentif kepada majikan untuk mengambil dan melatih pekerja tempatan. Ini juga akan dapat mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing. Peruntukan sebnayak RM700 juta akan disediakan bagi tujuan ini.

Selain itu, sejumlah 2,000 peluang latihan dan penempatan pekerjaan akan disediakan di syarikat GLC terutamanya dalam sektor perkhidmatan seperti outsourcing, penerbangan, utiliti, kesihatan dan multimedia kreatif.

Wednesday, April 1, 2009

KONTRAK SOSIAL

Setiap rakyat Malaysia khususnya ahli politik seharusnya lebih sensitif terhadap perasaan dan sensitiviti pelbagai kaum di Malaysia bagi menjamin keharmonian dan kestabilan negara ini.

Politik Malaysia ternyata stabil dan rakyat seharusnya menghargai situasi ini. Oleh kerana hubungan kaum melibatkan sensitiviti ini maka peraturan asas yang disebut Kontrak Sosial telah disuntik ke dalam Perlembagaan Negara dan juga Perlembagaan Negeri.

Sekiranya ada di kalangan masyarakat yang cuba mempersoalkan mengenai Kontrak Sosial ini khususnya kedudukan dan keistimewaan orang Melayu, mereka terlebih dahulu perlu mengkaji sejarah pembentukan Negara Malaysia.

Kontrak Sosial merupakan persefahaman di antara kaum Melayu dan Bukan Melayu yang dicapai oleh pemimpin-pemimpin terdahulu yang bertanggungjawab membina negara ini.

Keunikan Malaysia ini tidak seharusnya dibandingkan dengan negara lain. Sebarang usaha mengubahnya akan membawa kesan negatif dan menjejaskan keharmonian negara.

Mempersoalkan status Kontrak Sosial hanya akan mengundang musibah kepada kestabilan sosial dan ekonomi negara. Kontrak Sosial telah memelihara rakyat sepanjang 51 tahun kemerdekaan negara. Maka tidak ada sebab untuk kita mempersoalkan statusnya.

Keharmonian dan kestabilan nasional yang dikecapi oleh setiap rakyat pada hari ini adalah bukti jelas kesan daripada persefahaman dan perasaan hormat menghormati di kalangan masyarakat berbilang kaum ini.

Kontrak Sosial merujuk kepada perjanjian yang dibuat oleh pemimpin terdahulu dan dimuatkan di dalam Perlembagaan. Kontrak Sosial boleh dirujuk di dalam Artikel 14-18 Perlembagaan, mengenai kewarganegaraan Bukan Melayu dan artikel 153 mengenai hak dan keistimewaan orang Melayu.
Pada 1956, Suruhanjaya Perlembagaan yang diterajui oleh Lord Reid telah bertanggungjawab menggubal Perlembagaan untuk kemerdekaan Tanah Melayu. Dalam proses tersebut, UMNO yang merupakan peneraju dalam Perikatan UMNO-MCA-MIC telah bersetuju bahawa kewarganegaraan adalah untuk seluruh rakyat di dalam Persekutuan yang telah membolehkan semua rakyat (di dalam Tanah Melayu) layak mendapat kewarganegaraan sama ada yang lahir di Tanah Melayu atau mereka yang memenuhi syarat dan bersumpah untuk taat setia kepada Tanah Melayu.

Pemimpin di dalam ketiga-tiga parti (UMNO, MCA dan MIC) telah bersetuju untuk menyelesaikan perbezaan di antara kaum dan mengemukakan satu suara kepada Suruhanjaya tersebut. Ini merupakan asas dan permulaan Kontrak Sosial di antara pemimpin UMNO dan MCA. MCA bersetuju agar hak keistimewaan orang Melayu dipertahankan dan sebagai balasan, UMNO pula bersetuju agar orang Cina dan lain-lain kaum Bukan Melayu diberikan taraf kewarganegaraan berdasarkan prinsip jus soli. Orang Cina juga dibenarkan untuk terus memainkan peranan utama dalam bidang ekonomi.

Kertas Cadangan Suruhanjaya Reid telah dikeluarkan pada 1957 dan kemudiannya dikaji dan dipinda oleh Suruhanjaya Kerja Tanah Melayu dan wakil Perikatan, Raja-Raja Melayu dan Kerajaan British di dalam sebuah mesyuarat di London. Ianya dikenali sebagai Perlembagaan Kemerdekaan. Yang Dipertuan Agong bertanggungjawab memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan memperkenankan kepentingan anggota masyarakat yang lain.

Sebelum pembentukan Persekutuan Tanah Melayu pada 1963, satu lagi proses Perlembagaan telah diusahakan dengan Borneo Utara (sekarang Sabah) dan Sarawak pada 1962. Daripada proses ini, lahir satu lagi Kontrak Sosial (termasuk Laporan Suruhanjaya Cobbold) yang sama dengan persetujuan pada 1956-57.

Teras di dalam Kontrak tersebut seperti yang dinyatakan di dalam memorandum yang diserahkan oleh Perikatan iaitu Islam dijadikan agama rasmi negara dengan tidak mengganggu dan menjejaskan agama-agama lain yang dianuti oleh orang Bukan Islam.

Perlembagaan Kemerdekaan jelas menjadi kerangka utama dalam pembentukan Perlembagaan Persekutuan 1963. Dokumen tersebut terus memelihara hak dan keistimewaan orang Melayu, bahasa Melayu dan agama Islam tanpa menjejaskan hak kaum lain.

Sebagai kesimpulannya, Perlembagaan yang diasaskan pada 1957 dan 1963 melalui perundingan dan persetujuan pemimpin-pemimpin terdahulu adalah berdasarkan Kontrak Sosial yang menjadi asas pembentukan negara.
 
Load Counter
massage chair