Wednesday, February 20, 2013

KONSEP RUKUN NEGARA.



Rukun Negara adalah doktrin atau ideologi kebangsaan Malaysia yang mengandungi lima prinsip yang menjadi aspirasi masyarakat dan negara.  Ia merupakan prinsip hidup bermasyarakat yang mengandungi nilai-nilai kenegaraan dan norma-norma sosial yang meliputi semua aspek kehidupan yang diamalkan bersama oleh rakyat pelbagai kaum dan agama.


SUMBER : Jabatan Hal Ehwal Khas

Monday, February 18, 2013

LATAR BELAKANG PENGGUBALAN RUKUN NEGARA.


Dari segi latar belakangnya, Rukun Negara digubal setelah berlakunya peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.  Peristiwa hitam tersebut telah mendorong pemimpin negara pelbagai kaum memikirkan satu formula bagi memulihkan kaum yang lebih utuh dan kental.


Tun Abdul Razak Hussein yang mengetuai Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) ketika itu telah menubuhkan tiga badan iaitu Majlis Muhibah Negara, Jabatan Perpaduan Negara dan Majlis Perundingan Negara.

Hasil daripada perbincangan-perbincangan yang diadakan oleh Majlis Perundingan Negara (MPN) maka lahirlah Rukun Negara.  Rukun Negara digubal sebagai satu bentuk garis panduan dalam membina masyarakat yang bersatu padu, adil dan harmoni.


Ideologi negara ini telah diisytiharkan oleh Yang Di Pertuan Agong pada 31 Ogos 1970 iaitu semasa negara menyambut Hari Kemerdekaan Kali Ke 13.  Sejak diperkenalkan, Rukun Negara telah menjadi dasar kesatuan dan perpaduan bangsa serta pedoman bagi kegiatan hidup masyarakat pelbagai kaum dan budaya di negara ini.

Ia menjadi garis panduan atau pedoman kepada seluruh rakyat Malaysia untuk mencapai perpaduan kaum demi kedamaian, kesejahteraan, keharmonian dan kemakmuran negara Malaysia.  Justeru, Rukun Negara merupakan kunci kepada masyarakat pelbagai kaum di negara ini untuk membentuk warga berintegriti, berwawasan dan dinamik.


SUMBER : Jabatan Hal Ehwal Khas

Wednesday, February 13, 2013

RUKUN NEGARA SEBAGAI NILAI KENEGARAAN




Lima prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara harus dilihat dan difahami sebagai nilai kenegaraan.  Sejak dulu lagi pemikir politik dan kenegaraan seperti Plato berpendirian bahawa nilai kenegaraan adalah satu perkara yang sangat mendasar bagi setiap anggota masyarakat atau negara secara keseluruhan.


Nilai kenegaraan ini menyediakan kerangka acuan mengenai bagaimana masyarakat atau rakyat sesebuah negara itu disatukan dan ia sekali gus bertindak sebagai perilaku yang harus dimiliki dan ditunjukkan oleh seluruh warganegara.

Hakikatnya, sekian lama Rukun Negara telah menjadi asas serta nilai dalam kehidupan yang diyakini dan dikongsi bersama oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

Rukun Negara sudah menjadi semacam penyelenggaraan kehidupan bernegara, berbangsa dan bermasyarakat.  Jika dilihat dalam konteks perpaduan hubungan etnik maka penghayatan terhadap prinsip-prinsip Rukun Negara tersebut mampu membentuk individu dan masyarakat seperti yang dihasratkan dalam objektif dan matlamat ideologi itu.

Demikianlah Rukun Negara yang sudah menjadi ideologi rakyat Malaysia seperti Pancasila menjadi ideologi rakyat Indonesia.  Oleh itu sewajarnyalah setiap rakyat memahami latar belakang, objektif dan prinsip Rukun Negara itu.


SUMBER : Jabatan Hal Ehwal Khas

Monday, February 4, 2013

RUKUN NEGARA SEBAGAI IDEOLOGI, FALSAFAH & ETIKA


Rakyat Malaysia tidak kira apa jua keturunan dan fahaman politik telah menerima Rukun Negara sebagai ideologi, falsafah, etika dan rukun hidup bermasyarakat dan bernegara.

Secara etimologi, ‘ideologi’ berasal daripada dua kata iaitu idea yang bermaksud ‘fikiran’, dan logos yang bermaksud ‘ilmu’.  Orang pertama yang mencipta istilah ideologi ialah Antoine Destutt de Tracy (1754 – 1836).


Ahli falsafah Perancis itu telah mencipta istilah ideologi pada 1796.  Definisi yang diberikan ialah ideologi itu merupakan ‘ilmu mengenai fikiran manusia yang mampu membentuk jalan menuju masa depan’.

Dari segi definisi, ideologi dapat diertikan sebagai gagasan, pemahaman, nilai dan prakonsepsi sebuah kebudayaan dan masyarakat (rakyat) sesebuah negara.  Justeru, ideologi dalam konteks ini dapat dirumuskan sebagai dasar kenegaraan atau falsafah negara.

Dari segi politik, ideologi dianggap sebagai ‘doktrin’.  Doktrin adalah satu set kepercayaan yang mempunyai ciri dan falsafah tertentu yang dipegang oleh kelompok atau golongan tertentu sama ada dalam bentuk politik atau agama.

Rukun Negara sebagai satu ideologi harus dilihat sesuatu yang visioner iaitu sesuatu yang memiliki visi dan wawasan ke arah melahirkan masyarakat yang bersatu padu dan mencipta kehidupan yang lebih demokratik berasaskan kepada lima prinsip Rukun Negara.

Rukun Negara mesti juga dilihat sebagai etika dan pegangan hidup bagi negara, dasar kesatuan dan perpaduan bangsa serta pedoman bagi kegiatan hidup masyarakat pelbagai kaum dan budaya di negara ini melalui pengalaman ‘nilai-nilai luhur’, nilai-nilai murni, adab dan akhlak yang dapat membina ‘akal budi’ masyarakat yang bertamadun.

‘Bangsa’ (Negara) yang mempunyai ideologi, falsafah dan etika kenegaraan akan dapat mencorak pemikiran rakyat ke arah kecintaan dan kesetiaan kepada negara serta dapat membina sebuah negara bangsa yang dihormati dan disegani.


SUMBER : Jabatan Hal Ehwal Khas

Sunday, February 3, 2013

BAJET KASIH SAYANG : Polis




Peruntukan sebanyak RM 591 juta.  Berusaha untuk mengurangkan kadar jenayah dengan cara :


- Menambah perjawatan baru PDRM pada 2013 untuk melaksanakan tugas-tugas rondaan dan pencegahan jenayah.


- Menubuhkan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) bagi memantau kawasan perumahan.  Peruntukan sebanyak RM 20 juta untuk 1,000 buah motosikal.


- Menambah bilangan ahli Pasukan Sukarelawan Polis (PVR).  Peruntukan sebanyak RM 70 juta untuk 10,000 orang PVR.


- Menambah pemasangan Sistem Kamera Litar Tertutup (CCTV) sebanyak 496 unit di 25 buah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).


- Menyediakan sepasang pakaian seragam.  Peruntukan sebanyak RM 90 juta untuk 300,000 anggota RELA.
 
Load Counter
massage chair