Thursday, March 28, 2013

RUKUN NEGARA : KESOPANAN DAN KESUSILAAN



Prinsip ini mempunyai kaitan rapat dengan perkembangan dan pembangunan personaliti individu yang seharusnya dibina sejak kecil lagi.  Ia juga berkait rapat dengan nilai-nilai moral dan akhlak masyarakat.

Prinsip ini mesti menjadi panduan seluruh masyarakat supaya perilaku masyarakat sentiasa terpelihara dan berkembang sesuai dengan kemajuan dan pembangunan tamadun negara yang berasaskan keperibadian bangsa dan nilai-nilai murni.

Akar tradisi dan budaya kita yang penuh tatasusila dan kesopanan seharusnya dipelihara dan diamalkan supaya masyarakat kita bebas daripada hegemoni kebudayaan barat yang mendukung falsafah liberalisme yang boleh merosakkan akhlak dan moral masyarakat.

Kita tidak mahu akhlak dan moral masyarakat kita lebur kepada budaya liberalisme, hedonism dan apa juga budaya dekaden yang menghancurkan tata kesopanan dan kesusilaan bangsa.  Justeru, kerajaan sentiasa prihatin untuk membentuk masyarakat yang bersopan santun, berdisiplin dan bermoral tinggi.

Kempen ‘Budi Bahasa & Nilai Murni’ yang dianjurkan oleh kerajaan adalah bertujuan mewujudkan sebuah masyarakat yang memiliki sifat-sifat mulia, beradab, bersopan santun, bertoleransi, saling memahami dan cintakan kedamaian.  Ia selari dengan prinsip kelima Rukun Negara ini.

Kehidupan yang bersusila dan bersopan santun juga amat penting dalam konteks perhubungan etnik, terutama dalam masyarakat pelbagai kaum (majmuk) di negara ini.  Dalam konteks ini, setiap warganegara sewajarnya tahu menghormati orang lain dengan mengawal diri daripada membangkitkan persoalan-persoalan sensitif kepada sesuatu kaum berkaitan kewarganegaraan, asal keturunannya, bahasa, kebudayaan serta kepercayaan dan agama yang dianutinya.


SUMBER : Jabatan Hal Ehwal Khas

Monday, March 25, 2013

RUKUN NEGARA : KEDAULATAN UNDANG-UNDANG



Setiap negara mempunyai undang-undang untuk mengawal dan mewujudkan satu masyarakat yang aman, tenteram, stabil dan makmur.  Justeru, kedaulatan undang-undang menjadi elemen penting bagi memastikan undang-undang berjalan dengan lancar.

Kedaulatan undang-undang bermaksud setiap rakyat adalah sama tarafnya di sisi undang-undang negara tanpa sebarang diskriminasi kaum, gender mahupun kedudukan (status sosial).

Oleh itu, keadilan merupakan elemen penting dalam menegakkan kedaulatan undang-undang.  Kuasa kedaulatan dalam konteks undang-undang adalah merujuk kepada autoriti perundangan yang paling tinggi iaitu Perlembagaan Negara.

Badan untuk menegakkan kedaulatan undang-undang pula dijamin oleh institusi kehakiman yang bebas dan berwibawa.  Ini penting bagi menjamin kebebasan asasi semua warganegara Malaysia.

Walaupun Perlembagaan dan undang-undang negara memberikan kebebasan asasi kepada setiap warganegara namun kebebasan asasi yang diberi itu tidak bermakna kita bebas melakukan apa sahaja sehingga melanggar undang-undang dan Perlembagaan negara.

Misalnya adalah menyalahi undang-undang dan Perlembagaan apabila ada pihak yang mahu menggulingkan kerajaan sama ada dengan kekerasan atau dengan cara-cara yang tidak menurut Perlembagaan kerana ia bukan termasuk dalam pengertian demokratik.

Di dalam Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyebut bahawa undang-undang menentang perbuatan subversif, tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam dan negara.


SUMBER : Jabatan Hal Ehwal Khas

Wednesday, March 20, 2013

RUKUN NEGARA : KELUHURAN PERLEMBAGAAN



Perlembagaan Malaysia dikenali sebagai Perlembagaan Persekutuan.  Prinsip Keluhuran Perlembagaan bermaksud ketinggian dan keagungan undang-undang atau Perlembagaan itu sendiri.

Keluhuran Perlembagaan Malaysia terletak kepada kedudukannya sebagai undang-undang tertinggi yang menjadi sumber dan punca kepada semua undang-undang seperti yang disebutkan dalam Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan.  Keluhuran dan ketinggian Perlembagaan juga mengatasi kedudukan Yang Di Pertuan Agong (YDPA), Parlimen, Perdana Menteri dan Badan Kehakiman.

Setiap rakyat mempunyai kedudukan atau taraf yang sama di sisi undang-undang.  Perlembagaan memberi jaminan terhadap hak asasi, kebebasan rakyat dan keadilan sosial untuk semua kaum di negara ini.

“Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang” – Perkara 8(1).

Dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara Persekutuan, Perlembagaan menjadi asas penting untuk menjamin keadilan, kerjasama, kesepakatan dan kepentingan bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Justeru, Perlembagaan Negeri berperanan dan bertindak sebagai asas kepada pembentukan kerajaan, panduan bagi melaksanakan kuasa dan mentadbir negara berasaskan kepada prinsip-prinsip demokrasi berparlimen.

Badan yang dipertanggungjawabkan memelihara keluhuran dan ketinggian Perlembagaan ialah badan kehakiman.  Badan ini berkuasa menentukan kesahihan sesuatu undang-undang.

SUMBER : Jabatan Hal Ehwal Khas

RUKUN NEGARA : KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA



Di Malaysia, Raja dan Negara mempunyai kaitan yang sangat rapat.  Ini kerana Malaysia mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.

Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyebut bahawa Yang Di Pertuan Agong (YDPA) adalah Ketua Negara.  Perkara 44 pula menyebut bahawa YDPA adalah sebahagian daripada komponen yang membentuk parlimen di negara ini.


Justeru, prinsip kesetiaan dan ketaatan kepada Raja & Negara menjadi unsur dan ciri penting dalam soal kewarganegaraan di Malaysia.  Setiap warganegara Malaysia perlu menumpukan sepenuh taat setia, jujur dan ikhlas kepada YDPA dan negara.

Di peringkat negeri pula, rakyat dikehendaki menumpukan taat setia kepada Raja yang memerintah negeri tempat mereka bermastautin tanpa mengurangkan taat setia kepada YDPA.

Penghayatan terhadap prinsip kedua ini mampu membentuk satu bangsa Malaysia yang patriotik dan bersatu padu kerana Raja adalah ‘payung negara’ yang menaungi seluruh rakyat di negara ini.  Justeru, institusi raja tidak boleh dicemari, diperlekeh atau dihina serta tidak wajar dipolitikkan sama sekali.


SUMBER : Jabatan Hal Ehwal Khas

Tuesday, March 19, 2013

RUKUN NEGARA : KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN


Prinsip ini menggambarkan bahawa asas kehidupan beragama merupakan prinsip penting kehidupan rakyat di negara kita.  Sebarang bentuk ideologi atau ajaran yang menolak kepercayaan kepada Tuhan (atheis) seperti fahaman komunis tidak akan mendapat tempat di Malaysia.  Ini kerana agama telah menjadi unsur penting dalam membentuk rohani (spiritual) masyarakat Malaysia.


Di dalam Perlembagaan Persekutuan sendiri menetapkan bahawa Islam adalah agama rasmi Persekutuan dan kepercayaan atau agama-agama lain boleh diamalkan dengan bebas.  Perkara 11 dan 12(2) Perlembagaan Persekutuan memberi kebebasan kepada setiap penganut agama mengamalkan kepercayaan masing-masing.  Mereka juga bebas mengurus institusi-institusi agama mereka.


Namun, penganut agama-agama lain perlu memahami bahawa Perkara 11(4) melarang agama-agama lain disebarkan kepada orang-orang Islam.  Perkara ini mesti dipatuhi supaya keharmonian beragama di negara ini dapat dipelihara.


Setiap penganut agama sewajarnya menjadikan agama masing-masing sebagai asas membina keharmonian dan perpaduan, bukannya menggunakan agama sebagai alat mencipta permusuhan.  Dalam konteks ini, prinsip Kepercayaan Kepada Tuhan seharusnya dapat menerapkan kepercayaan beragama secara positif yang boleh membangunkan ‘pemikiran luhur’ dalam hubungan pelbagai kaum serta dapat membina jati diri yang padu.


Dimensi agama seharusnya diwacanakan dalam nada yang harmoni dan optimistik supaya ia dapat mengangkat moral dan nilai kemanusiaan serta dapat membina hubungan harmonis pelbagai etnik (kaum) dan agama negara ini.  Justeru, semua kepercayaan agama di negara ini harus menolak sebarang bentuk ekstremisme agama, sebaliknya mengamalkan fahaman kesederhanaan yang dapat menyubur sikap persefahaman dan bertolak ansur atau saling bertoleransi.


SUMBER : Jabatan Hal Ehwal Khas

Wednesday, March 6, 2013

OBJEKTIF RUKUN NEGARA



Rukun Negara mempunyai lima objektif iaitu :

i)          mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan masyarakat
ii)         memelihara cara hidup demokratik
iii)      mencipta masyarakat yang adil supaya kemakmuran negara dapat dinikmati bersama  secara adil dan saksama
iv)     membentuk satu sikap yang liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan berbagai-bagai corak
v)     membina sebuah masyarakat progresif dengan menggunakan sains dan teknologi moden

Masyarakat yang bersatu padu dapat dibentuk apabila rakyat mempunyai sikap toleransi, persefahaman dan penerimaan antara satu dengan yang lain secara jujur tanpa sebarang prejudis atau prasangka.  Perasaan cinta dan setia yang tidak berbelah bahagi terhadap negara juga menjadi unsur penting bagi mencipta masyarakat yang bersatu padu.

Masyarakat yang demokratik pula dizahirkan melalui pemerintahan demokrasi berparlimen yang mana rakyat mempunyai hak untuk memilih kerajaan melalui proses pilihan raya.  Kerajaan yang dipilih pula mesti menjalankan pentadbiran secara amanah dan adil berpandukan Perlembagaan Negara.  Hak-hak asasi rakyat yang dijamin Perlembagaan Negara juga menggambarkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang demokratik.

Masyarakat yang adil dan liberal dapat dinikmati melalui kebebasan beragama, mengamalkan adat resam dan kebudayaan masing-masing.  Setiap warganegara adalah bebas bergerak, berpersatuan serta melakukan pelbagai aktiviti asalkan ia tidak bertentangan dengan undang-undang negara.

Setiap rakyat tanpa mengira kaum, keturunan, jantina dan status berpeluang untuk mengambil bahagian serta meningkatkan diri dalam bidang politik, sosial dan ekonomi.

Golongan kurang bernasib baik seperti Orang Kurang Upaya (OKU) dan golongan miskin sentiasa dibantu oleh kerajaan supaya mereka boleh menikmati kemakmuran negara serta mencapai taraf hidup yang sama seperti orang lain.

Masyarakat yang progresif pula dibina berasaskan sains dan teknologi serta inovasi dan kreativiti.  Usaha untuk melahirkan masyarakat yang progresif penting supaya negara dapat bergerak seiring dengan kemajuan global yang menekankan penguasaan ilmu serta daya saing yang tinggi.  Justeru, masyarakat yang progresif akan dapat menggerakkan momentum kemajuan negara dalam semua bidang kehidupan.  Dalam konteks ini, pembangunan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi juga dapat mewujudkan masyarakat yang progresif.


SUMBER : Jabatan Hal Ehwal Khas

Wednesday, February 20, 2013

KONSEP RUKUN NEGARA.



Rukun Negara adalah doktrin atau ideologi kebangsaan Malaysia yang mengandungi lima prinsip yang menjadi aspirasi masyarakat dan negara.  Ia merupakan prinsip hidup bermasyarakat yang mengandungi nilai-nilai kenegaraan dan norma-norma sosial yang meliputi semua aspek kehidupan yang diamalkan bersama oleh rakyat pelbagai kaum dan agama.


SUMBER : Jabatan Hal Ehwal Khas

Monday, February 18, 2013

LATAR BELAKANG PENGGUBALAN RUKUN NEGARA.


Dari segi latar belakangnya, Rukun Negara digubal setelah berlakunya peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.  Peristiwa hitam tersebut telah mendorong pemimpin negara pelbagai kaum memikirkan satu formula bagi memulihkan kaum yang lebih utuh dan kental.


Tun Abdul Razak Hussein yang mengetuai Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) ketika itu telah menubuhkan tiga badan iaitu Majlis Muhibah Negara, Jabatan Perpaduan Negara dan Majlis Perundingan Negara.

Hasil daripada perbincangan-perbincangan yang diadakan oleh Majlis Perundingan Negara (MPN) maka lahirlah Rukun Negara.  Rukun Negara digubal sebagai satu bentuk garis panduan dalam membina masyarakat yang bersatu padu, adil dan harmoni.


Ideologi negara ini telah diisytiharkan oleh Yang Di Pertuan Agong pada 31 Ogos 1970 iaitu semasa negara menyambut Hari Kemerdekaan Kali Ke 13.  Sejak diperkenalkan, Rukun Negara telah menjadi dasar kesatuan dan perpaduan bangsa serta pedoman bagi kegiatan hidup masyarakat pelbagai kaum dan budaya di negara ini.

Ia menjadi garis panduan atau pedoman kepada seluruh rakyat Malaysia untuk mencapai perpaduan kaum demi kedamaian, kesejahteraan, keharmonian dan kemakmuran negara Malaysia.  Justeru, Rukun Negara merupakan kunci kepada masyarakat pelbagai kaum di negara ini untuk membentuk warga berintegriti, berwawasan dan dinamik.


SUMBER : Jabatan Hal Ehwal Khas

Wednesday, February 13, 2013

RUKUN NEGARA SEBAGAI NILAI KENEGARAAN




Lima prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara harus dilihat dan difahami sebagai nilai kenegaraan.  Sejak dulu lagi pemikir politik dan kenegaraan seperti Plato berpendirian bahawa nilai kenegaraan adalah satu perkara yang sangat mendasar bagi setiap anggota masyarakat atau negara secara keseluruhan.


Nilai kenegaraan ini menyediakan kerangka acuan mengenai bagaimana masyarakat atau rakyat sesebuah negara itu disatukan dan ia sekali gus bertindak sebagai perilaku yang harus dimiliki dan ditunjukkan oleh seluruh warganegara.

Hakikatnya, sekian lama Rukun Negara telah menjadi asas serta nilai dalam kehidupan yang diyakini dan dikongsi bersama oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

Rukun Negara sudah menjadi semacam penyelenggaraan kehidupan bernegara, berbangsa dan bermasyarakat.  Jika dilihat dalam konteks perpaduan hubungan etnik maka penghayatan terhadap prinsip-prinsip Rukun Negara tersebut mampu membentuk individu dan masyarakat seperti yang dihasratkan dalam objektif dan matlamat ideologi itu.

Demikianlah Rukun Negara yang sudah menjadi ideologi rakyat Malaysia seperti Pancasila menjadi ideologi rakyat Indonesia.  Oleh itu sewajarnyalah setiap rakyat memahami latar belakang, objektif dan prinsip Rukun Negara itu.


SUMBER : Jabatan Hal Ehwal Khas

Monday, February 4, 2013

RUKUN NEGARA SEBAGAI IDEOLOGI, FALSAFAH & ETIKA


Rakyat Malaysia tidak kira apa jua keturunan dan fahaman politik telah menerima Rukun Negara sebagai ideologi, falsafah, etika dan rukun hidup bermasyarakat dan bernegara.

Secara etimologi, ‘ideologi’ berasal daripada dua kata iaitu idea yang bermaksud ‘fikiran’, dan logos yang bermaksud ‘ilmu’.  Orang pertama yang mencipta istilah ideologi ialah Antoine Destutt de Tracy (1754 – 1836).


Ahli falsafah Perancis itu telah mencipta istilah ideologi pada 1796.  Definisi yang diberikan ialah ideologi itu merupakan ‘ilmu mengenai fikiran manusia yang mampu membentuk jalan menuju masa depan’.

Dari segi definisi, ideologi dapat diertikan sebagai gagasan, pemahaman, nilai dan prakonsepsi sebuah kebudayaan dan masyarakat (rakyat) sesebuah negara.  Justeru, ideologi dalam konteks ini dapat dirumuskan sebagai dasar kenegaraan atau falsafah negara.

Dari segi politik, ideologi dianggap sebagai ‘doktrin’.  Doktrin adalah satu set kepercayaan yang mempunyai ciri dan falsafah tertentu yang dipegang oleh kelompok atau golongan tertentu sama ada dalam bentuk politik atau agama.

Rukun Negara sebagai satu ideologi harus dilihat sesuatu yang visioner iaitu sesuatu yang memiliki visi dan wawasan ke arah melahirkan masyarakat yang bersatu padu dan mencipta kehidupan yang lebih demokratik berasaskan kepada lima prinsip Rukun Negara.

Rukun Negara mesti juga dilihat sebagai etika dan pegangan hidup bagi negara, dasar kesatuan dan perpaduan bangsa serta pedoman bagi kegiatan hidup masyarakat pelbagai kaum dan budaya di negara ini melalui pengalaman ‘nilai-nilai luhur’, nilai-nilai murni, adab dan akhlak yang dapat membina ‘akal budi’ masyarakat yang bertamadun.

‘Bangsa’ (Negara) yang mempunyai ideologi, falsafah dan etika kenegaraan akan dapat mencorak pemikiran rakyat ke arah kecintaan dan kesetiaan kepada negara serta dapat membina sebuah negara bangsa yang dihormati dan disegani.


SUMBER : Jabatan Hal Ehwal Khas

Sunday, February 3, 2013

BAJET KASIH SAYANG : Polis




Peruntukan sebanyak RM 591 juta.  Berusaha untuk mengurangkan kadar jenayah dengan cara :


- Menambah perjawatan baru PDRM pada 2013 untuk melaksanakan tugas-tugas rondaan dan pencegahan jenayah.


- Menubuhkan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) bagi memantau kawasan perumahan.  Peruntukan sebanyak RM 20 juta untuk 1,000 buah motosikal.


- Menambah bilangan ahli Pasukan Sukarelawan Polis (PVR).  Peruntukan sebanyak RM 70 juta untuk 10,000 orang PVR.


- Menambah pemasangan Sistem Kamera Litar Tertutup (CCTV) sebanyak 496 unit di 25 buah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).


- Menyediakan sepasang pakaian seragam.  Peruntukan sebanyak RM 90 juta untuk 300,000 anggota RELA.

Wednesday, January 30, 2013

BAJET KASIH SAYANG : Tentera



Syarat Lantikan Bagi Skim Perkhidmatan ATM Ditambah Baik :

- Kelayakan masuk bagi pegawai ditingkatkan kepada Ijazah Sarjana Muda Kepujian.
- Kelayakan masuk minimum askar laskar ditingkatkan kepada SPM dan Diploma berdasarkan skop tugas.


Meningkatkan Peluang Kenaikan Pangkat :

- Kaedah kenaikan pangkat secara ‘Time Based’ dalam tempoh lapan tahun dengan memenuhi syarat dan prestasi memuaskan untuk Prebet ke Lans Koperal dan Lans Koperal ke Koperal.
- Peruntukan sebanyak RM 107 juta dengan manfaat kepada 78,123 anggota.


Insentif Khas RM 200 Sebulan Kepada Semua Pegawai & Anggota ATM

- Melibatkan RM 301 juta dan memberi manfaat kepada 125,708 orang.
- Berkuatkuasa 1 Januari 2013.


Penyelarasan Elaun Khidmat Bertugas Pasukan Simpanan.

- Anggota Biasa : Dari RM 4 naik ke RM 6 sejam.
- Pegawai : Dari 5.80 naik ke RM 7.80 sejam.
- Melibatkan 65,000 anggota simpanan angkatan tentera termasuk Askar Wataniah, Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut dan Udara seluruh negara.

 Sumbangan ‘One Off’ Sebanyak RM 1,000

- Peruntukkan sejumlah RM 224 juta akan dinikmati oleh 224,000 orang bekas anggota tentera yang bersara awal kerana berkhidmat kurang daripada 21 tahun serta tidak berpencen.


Skim Perlindungan Insurans Berkelompok

- Peruntukan sebanyak RM 12 juta melibatkan 242,000 anggota tentera dan polis yang sedang berkhidmat.
- Had perlindungan maksimum sehingga RM 15,000.


SUMBER : Jabatan Penerangan Malaysia

Tuesday, January 29, 2013

BAJET KASIH SAYANG : Nelayan



RM 230 juta sebagai insentif tangkapan ikan dan elaun bantuan sara hidup nelayan :

- Elaun Sara Hidup RM 200 sebulan kepada 55,000 nelayan.
- Insentif 10 sen hingga 20 sen sekilo bagi hasil tangkapan ikan di jeti-jeti berdaftar seluruh negara.
- Skim Perlindungan Insuran Nelayan dengan perlindungan maksimum RM100,000.


SUMBER : Jabatan Penerangan Malaysia

Thursday, January 24, 2013

BAJET KASIH SAYANG : Petani




RM 2.4 bilion adalah pemberian subsidi dan insentif pertanian merangkumi :

- Subsidi Harga Padi                                   : RM 480 juta
- Subsidi Baja Padi                                      : RM 465 juta
- Insentif Peningkatan Hasil Padi                : RM 80 juta
- Insentif Pengeluaran                                   : RM 563 juta
- Subsidi Harga Beras                                  : RM 528 juta
- Subsidi Benih Padi Sah                             : RM 85 juta


RM 50 juta diperuntukan untuk SKIM Perlindungan Takaful Padi (SPTP) :

- Skim ini memberi perlindungan kepada pengusaha sawah di bawah 10 hektar.
- Manfaat kepada 172,000 pesawah.
- Jumlah pampasan RM 13,000 setiap pesawah.


SUMBER : Jabatan Penerangan Malaysia

Tuesday, January 22, 2013

PROJEK AZAM TANI




RM 41 juta diperuntukan untuk Projek Azam Tani.

- Memberi manfaat kepada 6,730 peserta.

- Pada 2011, program ini telah berjaya :
            - Mengeluarkan 1,234 keluarga daripada garis kemiskinan.
            - Purata pendapatan meningkat antara RM 200 hingga RM2,000 sebulan.
            - Ada juga yang mampu memperoleh pendapatan melebihi RM10,000 sebulan.


SUMBER : Jabatan Penerangan Malaysia

Monday, January 21, 2013

JAMINAN BEKALAN MAKANAN



Sejumlah RM 140 juta diperuntukan untuk tujuan ini dengan pertambahan empat kawasan jelapang padi baru seluas 19,000 hektar di Kota Belud, Batang Lupar, Rompin dan Pekan.  Pertambahan ini melibatkan penyertaan seramai 12,237 orang pesawah.  Apabila projek ini dilaksanakan, hasil padi yang dijangka terhasil adalah sebanyak 104,000 tan metrik.


SUMBER : Jabatan Penerangan Malaysia

Sunday, January 20, 2013

PERUNTUKAN SEKTOR PERTANIAN.



- RM 5.8 bilion kepada Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani.

- RM 30 juta bagi pembangunan pertanian.

- RM 75 juta bagi meningkatkan pengeluaran produk makanan dan kesihatan.

- RM 432 juta bagi sektor perladangan untuk program penanaman semula pokok kelapa sawit.  Usaha ini akan meningkatkan tuaian hasil sawit setahun pada kadar 26.2 tan sehektar pada 2020 berbanding 21 tan sekarang.

- RM 127 juta untuk pembangunan bahan terbitan oleo.  Untuk bahan terbitan oleo bernilai tinggi yang dapat mengubah komposisi industri hiliran ke arah pengeluaran lebih banyak bahan terbitan.


SUMBER : Jabatan Penerangan Malaysia
 
Load Counter
massage chair