Thursday, March 28, 2013

RUKUN NEGARA : KESOPANAN DAN KESUSILAAN



Prinsip ini mempunyai kaitan rapat dengan perkembangan dan pembangunan personaliti individu yang seharusnya dibina sejak kecil lagi.  Ia juga berkait rapat dengan nilai-nilai moral dan akhlak masyarakat.

Prinsip ini mesti menjadi panduan seluruh masyarakat supaya perilaku masyarakat sentiasa terpelihara dan berkembang sesuai dengan kemajuan dan pembangunan tamadun negara yang berasaskan keperibadian bangsa dan nilai-nilai murni.

Akar tradisi dan budaya kita yang penuh tatasusila dan kesopanan seharusnya dipelihara dan diamalkan supaya masyarakat kita bebas daripada hegemoni kebudayaan barat yang mendukung falsafah liberalisme yang boleh merosakkan akhlak dan moral masyarakat.

Kita tidak mahu akhlak dan moral masyarakat kita lebur kepada budaya liberalisme, hedonism dan apa juga budaya dekaden yang menghancurkan tata kesopanan dan kesusilaan bangsa.  Justeru, kerajaan sentiasa prihatin untuk membentuk masyarakat yang bersopan santun, berdisiplin dan bermoral tinggi.

Kempen ‘Budi Bahasa & Nilai Murni’ yang dianjurkan oleh kerajaan adalah bertujuan mewujudkan sebuah masyarakat yang memiliki sifat-sifat mulia, beradab, bersopan santun, bertoleransi, saling memahami dan cintakan kedamaian.  Ia selari dengan prinsip kelima Rukun Negara ini.

Kehidupan yang bersusila dan bersopan santun juga amat penting dalam konteks perhubungan etnik, terutama dalam masyarakat pelbagai kaum (majmuk) di negara ini.  Dalam konteks ini, setiap warganegara sewajarnya tahu menghormati orang lain dengan mengawal diri daripada membangkitkan persoalan-persoalan sensitif kepada sesuatu kaum berkaitan kewarganegaraan, asal keturunannya, bahasa, kebudayaan serta kepercayaan dan agama yang dianutinya.


SUMBER : Jabatan Hal Ehwal Khas

Monday, March 25, 2013

RUKUN NEGARA : KEDAULATAN UNDANG-UNDANG



Setiap negara mempunyai undang-undang untuk mengawal dan mewujudkan satu masyarakat yang aman, tenteram, stabil dan makmur.  Justeru, kedaulatan undang-undang menjadi elemen penting bagi memastikan undang-undang berjalan dengan lancar.

Kedaulatan undang-undang bermaksud setiap rakyat adalah sama tarafnya di sisi undang-undang negara tanpa sebarang diskriminasi kaum, gender mahupun kedudukan (status sosial).

Oleh itu, keadilan merupakan elemen penting dalam menegakkan kedaulatan undang-undang.  Kuasa kedaulatan dalam konteks undang-undang adalah merujuk kepada autoriti perundangan yang paling tinggi iaitu Perlembagaan Negara.

Badan untuk menegakkan kedaulatan undang-undang pula dijamin oleh institusi kehakiman yang bebas dan berwibawa.  Ini penting bagi menjamin kebebasan asasi semua warganegara Malaysia.

Walaupun Perlembagaan dan undang-undang negara memberikan kebebasan asasi kepada setiap warganegara namun kebebasan asasi yang diberi itu tidak bermakna kita bebas melakukan apa sahaja sehingga melanggar undang-undang dan Perlembagaan negara.

Misalnya adalah menyalahi undang-undang dan Perlembagaan apabila ada pihak yang mahu menggulingkan kerajaan sama ada dengan kekerasan atau dengan cara-cara yang tidak menurut Perlembagaan kerana ia bukan termasuk dalam pengertian demokratik.

Di dalam Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyebut bahawa undang-undang menentang perbuatan subversif, tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam dan negara.


SUMBER : Jabatan Hal Ehwal Khas

Wednesday, March 20, 2013

RUKUN NEGARA : KELUHURAN PERLEMBAGAAN



Perlembagaan Malaysia dikenali sebagai Perlembagaan Persekutuan.  Prinsip Keluhuran Perlembagaan bermaksud ketinggian dan keagungan undang-undang atau Perlembagaan itu sendiri.

Keluhuran Perlembagaan Malaysia terletak kepada kedudukannya sebagai undang-undang tertinggi yang menjadi sumber dan punca kepada semua undang-undang seperti yang disebutkan dalam Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan.  Keluhuran dan ketinggian Perlembagaan juga mengatasi kedudukan Yang Di Pertuan Agong (YDPA), Parlimen, Perdana Menteri dan Badan Kehakiman.

Setiap rakyat mempunyai kedudukan atau taraf yang sama di sisi undang-undang.  Perlembagaan memberi jaminan terhadap hak asasi, kebebasan rakyat dan keadilan sosial untuk semua kaum di negara ini.

“Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang” – Perkara 8(1).

Dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara Persekutuan, Perlembagaan menjadi asas penting untuk menjamin keadilan, kerjasama, kesepakatan dan kepentingan bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Justeru, Perlembagaan Negeri berperanan dan bertindak sebagai asas kepada pembentukan kerajaan, panduan bagi melaksanakan kuasa dan mentadbir negara berasaskan kepada prinsip-prinsip demokrasi berparlimen.

Badan yang dipertanggungjawabkan memelihara keluhuran dan ketinggian Perlembagaan ialah badan kehakiman.  Badan ini berkuasa menentukan kesahihan sesuatu undang-undang.

SUMBER : Jabatan Hal Ehwal Khas

RUKUN NEGARA : KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA



Di Malaysia, Raja dan Negara mempunyai kaitan yang sangat rapat.  Ini kerana Malaysia mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.

Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyebut bahawa Yang Di Pertuan Agong (YDPA) adalah Ketua Negara.  Perkara 44 pula menyebut bahawa YDPA adalah sebahagian daripada komponen yang membentuk parlimen di negara ini.


Justeru, prinsip kesetiaan dan ketaatan kepada Raja & Negara menjadi unsur dan ciri penting dalam soal kewarganegaraan di Malaysia.  Setiap warganegara Malaysia perlu menumpukan sepenuh taat setia, jujur dan ikhlas kepada YDPA dan negara.

Di peringkat negeri pula, rakyat dikehendaki menumpukan taat setia kepada Raja yang memerintah negeri tempat mereka bermastautin tanpa mengurangkan taat setia kepada YDPA.

Penghayatan terhadap prinsip kedua ini mampu membentuk satu bangsa Malaysia yang patriotik dan bersatu padu kerana Raja adalah ‘payung negara’ yang menaungi seluruh rakyat di negara ini.  Justeru, institusi raja tidak boleh dicemari, diperlekeh atau dihina serta tidak wajar dipolitikkan sama sekali.


SUMBER : Jabatan Hal Ehwal Khas

Tuesday, March 19, 2013

RUKUN NEGARA : KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN


Prinsip ini menggambarkan bahawa asas kehidupan beragama merupakan prinsip penting kehidupan rakyat di negara kita.  Sebarang bentuk ideologi atau ajaran yang menolak kepercayaan kepada Tuhan (atheis) seperti fahaman komunis tidak akan mendapat tempat di Malaysia.  Ini kerana agama telah menjadi unsur penting dalam membentuk rohani (spiritual) masyarakat Malaysia.


Di dalam Perlembagaan Persekutuan sendiri menetapkan bahawa Islam adalah agama rasmi Persekutuan dan kepercayaan atau agama-agama lain boleh diamalkan dengan bebas.  Perkara 11 dan 12(2) Perlembagaan Persekutuan memberi kebebasan kepada setiap penganut agama mengamalkan kepercayaan masing-masing.  Mereka juga bebas mengurus institusi-institusi agama mereka.


Namun, penganut agama-agama lain perlu memahami bahawa Perkara 11(4) melarang agama-agama lain disebarkan kepada orang-orang Islam.  Perkara ini mesti dipatuhi supaya keharmonian beragama di negara ini dapat dipelihara.


Setiap penganut agama sewajarnya menjadikan agama masing-masing sebagai asas membina keharmonian dan perpaduan, bukannya menggunakan agama sebagai alat mencipta permusuhan.  Dalam konteks ini, prinsip Kepercayaan Kepada Tuhan seharusnya dapat menerapkan kepercayaan beragama secara positif yang boleh membangunkan ‘pemikiran luhur’ dalam hubungan pelbagai kaum serta dapat membina jati diri yang padu.


Dimensi agama seharusnya diwacanakan dalam nada yang harmoni dan optimistik supaya ia dapat mengangkat moral dan nilai kemanusiaan serta dapat membina hubungan harmonis pelbagai etnik (kaum) dan agama negara ini.  Justeru, semua kepercayaan agama di negara ini harus menolak sebarang bentuk ekstremisme agama, sebaliknya mengamalkan fahaman kesederhanaan yang dapat menyubur sikap persefahaman dan bertolak ansur atau saling bertoleransi.


SUMBER : Jabatan Hal Ehwal Khas

Wednesday, March 6, 2013

OBJEKTIF RUKUN NEGARA



Rukun Negara mempunyai lima objektif iaitu :

i)          mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan masyarakat
ii)         memelihara cara hidup demokratik
iii)      mencipta masyarakat yang adil supaya kemakmuran negara dapat dinikmati bersama  secara adil dan saksama
iv)     membentuk satu sikap yang liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan berbagai-bagai corak
v)     membina sebuah masyarakat progresif dengan menggunakan sains dan teknologi moden

Masyarakat yang bersatu padu dapat dibentuk apabila rakyat mempunyai sikap toleransi, persefahaman dan penerimaan antara satu dengan yang lain secara jujur tanpa sebarang prejudis atau prasangka.  Perasaan cinta dan setia yang tidak berbelah bahagi terhadap negara juga menjadi unsur penting bagi mencipta masyarakat yang bersatu padu.

Masyarakat yang demokratik pula dizahirkan melalui pemerintahan demokrasi berparlimen yang mana rakyat mempunyai hak untuk memilih kerajaan melalui proses pilihan raya.  Kerajaan yang dipilih pula mesti menjalankan pentadbiran secara amanah dan adil berpandukan Perlembagaan Negara.  Hak-hak asasi rakyat yang dijamin Perlembagaan Negara juga menggambarkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang demokratik.

Masyarakat yang adil dan liberal dapat dinikmati melalui kebebasan beragama, mengamalkan adat resam dan kebudayaan masing-masing.  Setiap warganegara adalah bebas bergerak, berpersatuan serta melakukan pelbagai aktiviti asalkan ia tidak bertentangan dengan undang-undang negara.

Setiap rakyat tanpa mengira kaum, keturunan, jantina dan status berpeluang untuk mengambil bahagian serta meningkatkan diri dalam bidang politik, sosial dan ekonomi.

Golongan kurang bernasib baik seperti Orang Kurang Upaya (OKU) dan golongan miskin sentiasa dibantu oleh kerajaan supaya mereka boleh menikmati kemakmuran negara serta mencapai taraf hidup yang sama seperti orang lain.

Masyarakat yang progresif pula dibina berasaskan sains dan teknologi serta inovasi dan kreativiti.  Usaha untuk melahirkan masyarakat yang progresif penting supaya negara dapat bergerak seiring dengan kemajuan global yang menekankan penguasaan ilmu serta daya saing yang tinggi.  Justeru, masyarakat yang progresif akan dapat menggerakkan momentum kemajuan negara dalam semua bidang kehidupan.  Dalam konteks ini, pembangunan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi juga dapat mewujudkan masyarakat yang progresif.


SUMBER : Jabatan Hal Ehwal Khas
 
Load Counter
massage chair