Monday, March 30, 2009

MENGENALI ISMAIL SAFIAN.

Calon BN dalam Pilihan Raya Kecil P059 - Parlimen Bukit Gantang ini merupakan anak watan yang lahir di Kampung Kubu, Bukit Gantang pada 27 September 1960. Perkongsian hidup dengan Puan Poziah Haji Noh telah dianugerahkan dengan lima orang cahaya mata.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Dato' Panglima Bukit Gantang dari 1967 hingga 1972 sebelum melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Tengku Menteri, Changkat Jering dari 1973 hingga 1975.

Seterusnya beliau menyambung persekolahan di Sekolah Menengah Dr. Burhanuddin, Taiping pada 1976 dan 1977 sebelum ke Sekolah Menengah Sains Pulau Pinang dari 1978 hingga 1980. Dari situ beliau berjaya menjejakkan kaki ke menara gading apabila diterima masuk ke Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang dari 1980 hingga 1984.

Beliau mula menabur jasa kepada rakyat sebaik sahaja melangkahkan kaki keluar dari menara gading apabila beliau berkhidmat sebagai guru matematik di Maktab Rendah Sains MARA, Taiping bermula 1985 hingga 1988.

Beliau kemudiannya berkhidmat sebagai Setiausaha Majlis Daerah Kerian dari 1988 hingga 1999 sebelum menjawat jawatan yang sama di Majlis Perbandaran Manjung dari 1999 hingga 2008. Beliau kemudiannya menyertai Majlis Perbandaran Kuala Kangsar dengan jawatan yang sama dari Mei hingga Julai 2008.

Kini beliau merupakan Pengarah Bahagian Sumber Manusia & Khidmat Pengurusan di Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam.

Beliau mula berjinak-jinak dengan dunia politik pada 1984 apabila dipilih sebagai Setiausaha Pemuda UMNO, Bahagian Bukit Gantang sebelum dilantik sebagai Setiausaha UMNO, Bahagian Bukit Gantang pada 1999.

Kecemerlangan beliau dalam UMNO turut menyebabkan beliau terpilih menjadi Timbalan Ketua UMNO, Cawangan Kampung Kubu, Ketua Penerangan UMNO Bukit Gantang dan Setiausaha Barisan Nasional, Bahagian Bukit Gantang.

Jasa dan bakti beliau dalam dunia politik dan sosial turut mendapat pengiktirafan apabila beliau dianugerahkan dengan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Majlis Daerah Kerian pada 1994, 1996 dan 1997. Beliau turut menerima Pingat Pekerti Terpilih (PPT) pada 1992, Pingat Ahli Mangku Perak (AMP) pada 1997, Pingat Ahli Mangku Negara (AMN) pada 2006, Pingat Bintang Cemerlang Melaka (BMC) pada 2006 dan Pingat Paduka Mahkota Perak (PMP) pada 2008.

1 comment:

Anonymous said...

Tahniah Pak Ismail. Inilah yang dikatakan UMNO visi baru. Walau Pak Ismail tidak ada jawatan dalam UMNO tetapi UMNO tentukan calon ikut kehendak rakyat...rakyat nakkan Pak Ismail, jadi Pak Ismaillah patut jadi pemimpin mereka. Rakyat Bukit Gantang kena sokong Pak Ismail 100% demi masa depan Bukit Gantang....

 
Load Counter
massage chair