Monday, February 4, 2013

RUKUN NEGARA SEBAGAI IDEOLOGI, FALSAFAH & ETIKA


Rakyat Malaysia tidak kira apa jua keturunan dan fahaman politik telah menerima Rukun Negara sebagai ideologi, falsafah, etika dan rukun hidup bermasyarakat dan bernegara.

Secara etimologi, ‘ideologi’ berasal daripada dua kata iaitu idea yang bermaksud ‘fikiran’, dan logos yang bermaksud ‘ilmu’.  Orang pertama yang mencipta istilah ideologi ialah Antoine Destutt de Tracy (1754 – 1836).


Ahli falsafah Perancis itu telah mencipta istilah ideologi pada 1796.  Definisi yang diberikan ialah ideologi itu merupakan ‘ilmu mengenai fikiran manusia yang mampu membentuk jalan menuju masa depan’.

Dari segi definisi, ideologi dapat diertikan sebagai gagasan, pemahaman, nilai dan prakonsepsi sebuah kebudayaan dan masyarakat (rakyat) sesebuah negara.  Justeru, ideologi dalam konteks ini dapat dirumuskan sebagai dasar kenegaraan atau falsafah negara.

Dari segi politik, ideologi dianggap sebagai ‘doktrin’.  Doktrin adalah satu set kepercayaan yang mempunyai ciri dan falsafah tertentu yang dipegang oleh kelompok atau golongan tertentu sama ada dalam bentuk politik atau agama.

Rukun Negara sebagai satu ideologi harus dilihat sesuatu yang visioner iaitu sesuatu yang memiliki visi dan wawasan ke arah melahirkan masyarakat yang bersatu padu dan mencipta kehidupan yang lebih demokratik berasaskan kepada lima prinsip Rukun Negara.

Rukun Negara mesti juga dilihat sebagai etika dan pegangan hidup bagi negara, dasar kesatuan dan perpaduan bangsa serta pedoman bagi kegiatan hidup masyarakat pelbagai kaum dan budaya di negara ini melalui pengalaman ‘nilai-nilai luhur’, nilai-nilai murni, adab dan akhlak yang dapat membina ‘akal budi’ masyarakat yang bertamadun.

‘Bangsa’ (Negara) yang mempunyai ideologi, falsafah dan etika kenegaraan akan dapat mencorak pemikiran rakyat ke arah kecintaan dan kesetiaan kepada negara serta dapat membina sebuah negara bangsa yang dihormati dan disegani.


SUMBER : Jabatan Hal Ehwal Khas

No comments:

 
Load Counter
massage chair