Tuesday, May 8, 2012

DAKWAAN 3 : SURUHANJAYA PILIHAN RAYA (SPR) GAGAL MEMBERSIHKAN DAFTAR PEMILIH. SERAMAI 42,051 PENGUNDI AWAM MERAGUKAN MASIH BERADA DALAM DAFTAR PEMILIH SPR HINGGA SEKARANG.


Sebagai langkah yang berterusan untuk membersihkan Daftar Pemilih, SPR telah menghantar Daftar Pemilih Induk (DPI) yang melibatkan ke semua nama 12.5 juta pemilih berdaftar kepada pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada Julai 2011 untuk semakan secara menyeluruh bagi tujuan pengesahan dan pembersihan.  Pada September 2011, JPN telah memberi maklum balas kepada SPR bahawa dari jumlah 12.5 juta tersebut, terdapat sebanyak 42,051 nama pemilih yang tidak memiliki maklumat yang jelas dan sahih.  Ini bermakna nama 42,051 pemilih berdaftar demikian ada di dalam rekod JPN tetapi masalahnya mereka tidak dapat dihubungi untuk diminta datang mengemaskini status terkini kedudukan mereka kerana ketiadaan alamat yang jelas.  Pada waktu yang sama mereka juga tidak datang ke mana-mana pejabat JPN untuk mengemaskini status mereka.  Oleh yang demikian, SPR membuat keputusan untuk mengkategorikan 42,051 nama berkenaan sebagai pemilih awam di bawah status yang diragui kesahihannya disebabkan ketiadaan maklumat terkini tentang status mereka.

Berikutan itu, sebagai langkah yang betul serta bagi menjamin hak rakyat selaku pemilih berdaftar yang dijamin di bawah Perlembagaan, SPR tidak boleh memotong nama mereka dari daftar pemilih sewenang-wenangnya tanpa pengesahan dari jabatan yang berwajib iaitu JPN.  SPR sebaliknya mengambil inisiatif untuk mempamerkan ke semua 42,051 nama berkenaan selama tiga bulan untuk memberi peluang kepada orang ramai khususnya pemilih untuk tampil mengemaskini maklumat mereka di JPN dan SPR supaya nama mereka dapat dikemaskini atau dikeluarkan daripada senarai pemilih awam ragu tersebut.

Dalam tempoh pameran itu juga, SPR turut mengedarkan nama-nama berkenaan kepada Ibu Pejabat semua parti politik di peringkat Parlimen dan DUN yang berkenaan di seluruh negara untuk mendapatkan bantuan dalam usaha mencari pengesahan dan maklum balas berhubung dengan kedudukan alamat dan status terkini pemilih berkenaan.  Walau bagaimanapun, sepanjang tempoh tiga bulan pameran tersebut berlangsung, sambutan yang diterima oleh SPR sama ada dari parti-parti politik atau orang ramai amat dingin.  Pada 28 Mac 2012, JPN telah memberi maklum balas kepada SPR bahawa melalui semakan yang terperinci dan berterusan oleh mereka, jumlah pemilih diragui itu telah berkurangan kepada 40,803 orang.  Ini berikutan terdapat di kalangan mereka yang tampil ke JPN untuk mengemaskini maklumat kad pengenalan dan waris-waris yang tampil dengan membawa bukti kepada JPN mengenai kematian ahli keluarga atau saudara mara mereka.

Undang-undang SPR tidak membenarkan mana-mana nama dalam daftar pemilih dipotong sewenang-wenangnya tanpa pengesahan dari pihak JPN.  Oleh yang demikian, nama 40,803 pemilih awam ragu tersebut perlu terus kekal berada di dalam daftar pemilih bagi menjamin hak mereka yang dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan.  SPR hanya memotong nama-nama mereka daripada daftar pemilih setelah mendapat pengesahan secara rasmi dari pihak berwajib iaitu JPN sama ada mereka telah meninggal dunia atau hilang taraf kewarganegaraan atau hilang kelayakan atas sebab-sebab lain seperti yang diperuntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan.  Oleh yang demikian, selagi pengesahan muktamad tidak diperolehi dari JPN, ke semua nama 40,803 pemilih berkenaan perlu dikekalkan di dalam DPI.

No comments:

 
Load Counter
massage chair