Monday, May 7, 2012

DAKWAAN 2 : KAWASAN MENGUNDI YAB TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM TELAH DIPINDAHKAN SECARA TIDAK SAH OLEH SURUHANJAYA PILIHAN RAYA (SPR).


Dakwaan yang mengatakan bahawa kawasan mengundi bagi YAB Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah dipindahkan secara tidak sah oleh SPR adalah tidak benar dan tidak berasas.  SPR telah memberi penjelasan terperinci kepada Ahli-Ahli Parlimen pada 16 April 2012 berhubung perkara ini.  Walau bagaimanapun perkara ini terus diputar belit untuk mengelirukan orang ramai yang tidak faham tentang isu pembetulan kedudukan Lokaliti di dalam sesuatu Daerah Mengundi yang terletak di dalam kawasan DUN dan Parlimen.

Apa yang sebenarnya berlaku di dalam kes yang melibatkan alamat dalam Lokaliti YAB Tan Sri Khalid Ibrahim ialah SPR hanya membuat pembetulan kedudukan Lokaliti yang telah tersalah letak di dalam kawasan pilihan raya.  Proses ini dijalankan mengikut Peruntukan Sub Peraturan 25(3), Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih 2002).

YAB Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah mendaftar sebagai pemilih pada 1 Januari 1985 dengan menggunakan alamat Jalan 16/2, Seksyen 16, Petaling Jaya, Selangor.  Semasa pendataan borang pendaftaran tersebut, petugas SPR telah meletakkan alamat Lokaliti beliau iaitu Jalan 16/2 di dalam kawasan DUN N.34 Bukit Gasing / Parlimen P.105 Petaling Jaya Selatan iaitu berdasarkan kepada alamat di dalam borang pendaftaran tersebut.  Pada masa itu SPR tidak menyedari bahawa di lapangan yang alamat Lokaliti Jalan 16/2 itu adalah sebenarnya terletak di dalam Wilayah Persekutuan di mana Jalan Datuk Abu Bakar merupakan sempadan rasmi antara negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan.  Apabila Sistem EGIS (Electoral Geographical Information System) dilaksanakan, SPR mula menyedari kesilapan penentuan kedudukan Lokaliti berkenaan.  Maka selaras dengan tindakan pembetulan Lokaliti yang sedemikian di kawasan-kawasan lain di seluruh negara, SPR juga membuat pembetulan kedudukan Lokaliti Jalan 16/2, Seksyen 16, Petaling Jaya.  Di atas muka bumi, Lokaliti tersebut sebenarnya terletak di kawasan Parlimen P.121 Lembah Pantai, Wilayah Persekutuan.  Ianya sama sekali tidak melibatkan apa-apa perubahan kepada garis sempadan kawasan pilihan raya sama ada DUN atau Parlimen.  Bagi mana-mana pihak yang ingin mendapat penjelasan lanjut berhubung dengan perkara tersebut, mereka bolehlah datang ke Ibu Pejabat SPR atau Pejabat SPR Selangor atau Pejabat SPR Wilayah Persekutuan.

No comments:

 
Load Counter
massage chair