Monday, November 1, 2010

Jambatan Baru Untuk Warga Galas

Kerajaan Barisan Nasional (BN) bersedia menimbangkan permintaan penduduk tiga kampung di kawasan Batu Papan untuk menggantikan dua jambatan yang sempit dan tidak sesuai digunakan, selain membahayakan penggunanya.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata jambatan gantung dan jambatan sempit berkenaan digunakan lebih 1,500 penduduk dan pelajar dari Kampung Batu Papan 1, Kampung Batu 2 serta Kampung Batu Papan Kundur, untuk berulang-alik ke Gua Musang dan sekolah.

“Jadi, saya akan bawa cadangan untuk membina jambatan ganti kepada kerajaan pusat untuk dipertimbangkan, kerana kita tidak mahu sebarang kemalangan yang tidak dingini berlaku, lebih-lebih lagi terhadap pelajar sekolah yang sering menggunakan jambatan ini untuk berulang-alik ke tiga buah sekolah berhampiran,” kataya kepada pemberita selepas melawat Kampung Batu Papan.

Beliau berkata perkara itu bukan janji pilihan raya, tetapi ia bagi memenuhi keperluan rakyat.

“Kita tidak berjanji, namun kita akan usahakan. Kalah atau menang dalam pilihan raya kecil, itu kemudian kira. Yang penting, kerajaan BN mahu membantu kebajikan penduduk kampung di kawasan ini, yang terpaksa bergilir-gilir melaluinya setiap kali ada kenderaan dari arah bertentangan,” katanya.

Awang Adek berkata cadangan pembinaan jambatan baru itu telah dimaklumkan kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa beliau melawat Kampung Batu Papan baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan jumlah kos yang dijangka terlibat untuk membina jambatan ganti itu.

Dalam perkembangan lain, Awang Adek berkata Pas seolah-olah telah kehabisan modal apabila menggunakan isu royalti untuk berkempen pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

“Ini menunjukkan Pas tidak menghormati undang-undang. Mereka tidak patut membangkitkan isu itu kerana ia masih dalam peringkat mahkamah. Kita bukan tidak boleh menjawab mengenainya (royalti), tetapi kita tidak mahu terikut-ikut dengan cara mereka,” katanya.

No comments:

 
Load Counter
massage chair