Langkah
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) secara agresif menjalankan promosi menyeru
rakyat mendaftar sebagai pengundi, ditambah pula dengan suasana semasa yang
hampir dengan Pilihan Raya Umum 13 (PRU13) merupakan faktor utama yang
menyebabkan pendaftaran pemilih mencatatkan peningkatan yang tinggi sehingga
suku tahun keempat 2011. Peningkatan
jumlah pendaftaran telah berlaku secara menyeluruh di semua bahagian pilihan
raya di seluruh negara. Walau
bagaimanapun, terdapat bahagian-bahagian pilihan raya yang mencatat peningkatan
yang lebih tinggi daripada yang lain seperti yang berlaku di beberapa negeri
dan di beberapa bahagian pilihan raya tertentu.
Perkara ini tidak harus dipertikaikan kerana sehingga Jun 2011, masih
terdapat sejumlah 3.7 juta warganegara Malaysia yang layak tetapi belum
mendaftar sebagai pengundi. Jumlah
mereka yang belum mendaftar yang tertinggi mengikut negeri ialah di Selangor diikuti
Wilayah Persekutuan, Johor, Perak dan lain-lain. Maka, jika peningkatan pendaftaran yang
tinggi berlaku di Selangor, itu adalah sesuatu yang selari dengan fakta yang
mana seramai 750,000 warga yang masih belum mendaftar sehingga Jun 2011 adalah
terdiri daripada warga Selangor.
Di
sesetengah bahagian pilihan raya, peningkatan jumlah pendaftaran telah berlaku
dalam kadar yang tinggi dengan peratusan melebihi 30% berbanding dengan
kedudukan bilangan pemilih pada Pilihan Raya Umum 12 (PRU12). Ini termasuklah kawasan-kawasan seperti P.107
Subang (34%), P.158 Tebrau (34%), P.111 Kota Raja (33%), P.086 Pekan (33%) dan
P.032 Gua Musang (30%).
Pertambahan
jumlah pendaftaran pengundi ini bukanlah satu perkara yang dirancang oleh SPR
bagi tujuan tertentu seperti mana yang didakwa oleh beberapa pihak. Sebaliknya ia berlaku disebabkan masih
terlalu ramai mereka yang layak mendaftar sebagai pemilih di seluruh negara
termasuk Selangor yang belum mendaftar sebagai pemilih. Ekoran dari promosi pendaftaran yang agresif
dan berterusan, mereka mula sedar dan tampil mendaftar secara besar-besaran
melalui pejabat-pejabat pos dan penolong-penolong pendaftar yang dilantik oleh
SPR di seluruh negara.
No comments:
Post a Comment