Dakwaan
tersebut merupakan satu fitnah dan tidak berasas sama sekali. SPR tidak pernah melakukan apa-apa perubahan
terhadap sempadan kawasan atau bahagian pilihan raya sama ada DUN atau pun
Parlimen kerana urusan berkenaan hanya dapat dilakukan apabila tiba masanya
mengikut peruntukan Perkara 113, Perlembagaan Persekutuan. SPR telah pun mengeluarkan pengumuman bahawa
urusan kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya hanya akan
dikeluarkan apabila tiba masanya selepas PRU13.
SPR akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara tersebut apabila
tiba masanya nanti.
Apa
yang sebenarnya berlaku sebelum ini mengikut peraturan kuasa di bawah Sub
Peraturan 25(3), Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002,
melalui kuasa Ketua Pendaftar ialah tindakan SPR membetulkan Lokaliti yang
mengandungi nama-nama pemilih yang telah tersalah letak sebelumnya iaitu semasa
proses penetapan kedudukan Lokaliti (sebelum 2004) yang dibuat secara
manual. Oleh kerana kedudukan Lokaliti
berkenaan telah tersalah letak, maka selaras dengan peruntukan undang-undang,
SPR perlu membetulkan kedudukan Lokaliti tersebut di dalam bahagian pilihan
raya yang sepatutnya pemilih di dalam Lokaliti berkenaan didaftarkan.
SPR
menyedari kedudukan beberapa Lokaliti yang tersalah letak di dalam bahagian
pilihan raya hanya selepas Sistem EGIS (Electoral Geographical Information
System) digunapakai dalam tahun 2004.
Melalui peruntukan kuasa yang ada, SPR telah membuat pembetulan kedudukan
Lokaliti yang tersalah letak di seluruh negara yang melibatkan jumlah pemilih
seramai 19,342 orang. Pemilih-pemilih
mengikut Lokaliti-Lokaliti berkenaan perlu ditempatkan di dalam kawasan pilihan
raya yang sebenarnya seperti yang wujud di lapangan. Perlu ditekankan bahawa pembetulan
Lokaliti-Lokaliti yang dibuat itu tidak sama sekali melibatkan perubahan kepada
mana-mana garis sempadan bahagian pilihan raya sama ada DUN ataupun Parlimen. Sebaliknya dengan pembetulan kedudukan
pemilih mengikut Lokaliti yang terlibat maka mereka akan mengundi di dalam
bahagian pilihan raya yang betul mengikut kedudukan alamatnya di dalam Daerah
Mengundi dan DUN yang sebenarnya.
Selepas
tindakan pembetulan Lokaliti berkenaan dibuat, SPR telah memaklumkan secara
rasmi melalui surat pemberitahuan yang dialamatkan kepada semua pemimpin parti
politik di dalam bahagian-bahagian pilihan raya yang berkenaan. SPR beranggapan parti-parti politik melalui
pemimpin-pemimpin mereka di peringkat Daerah Mengundi dan DUN menyedari tindakan
SPR tersebut dan seterusnya memaklumkan kepada pemilih-pemilih yang terlibat di
kawasan masing-masing. Tetapi ramai
pemilih yang memberi maklumbalas kepada SPR mereka tidak menyedari telah
berlaku pembetulan kedudukan nama mereka mengikut Lokaliti di mana mereka
didaftarkan. Oleh yang demikian, dalam
menghadapi PRU13 akan datang, SPR akan menulis surat pemberitahuan perkara
tersebut kepada semua pemilih yang terlibat di semua kawasan yang berkenaan di
seluruh negara.
Justeru,
SPR ingin menegaskan sekali lagi bahawa dengan tindakan membetulkan kedudukan
nama pemilih di dalam Lokaliti berkenaan iaitu dengan meletakkannya di dalam
bahagian pilihan raya yang sebenar mengikut kedudukan di lapangan, ia sama
sekali tidak melibatkan apa-apa perubahan kepada garis sempadan kawasan atau
bahagian pilihan raya sama ada DUN atau Parlimen. Mana-mana pihak yang ingin mendapat
penjelasan secara lebih lanjut berhubung dengan perkara ini boleh menghubungi
mana-mana Pejabat SPR yang berkenaan.
No comments:
Post a Comment