Sebagai
langkah yang berterusan untuk membersihkan Daftar Pemilih, SPR telah menghantar
Daftar Pemilih Induk (DPI) yang melibatkan ke semua nama 12.5 juta pemilih
berdaftar kepada pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada Julai 2011 untuk
semakan secara menyeluruh bagi tujuan pengesahan dan pembersihan. Pada September 2011, JPN telah memberi maklum
balas kepada SPR bahawa dari jumlah 12.5 juta tersebut, terdapat sebanyak
42,051 nama pemilih yang tidak memiliki maklumat yang jelas dan sahih. Ini bermakna nama 42,051 pemilih berdaftar
demikian ada di dalam rekod JPN tetapi masalahnya mereka tidak dapat dihubungi
untuk diminta datang mengemaskini status terkini kedudukan mereka kerana
ketiadaan alamat yang jelas. Pada waktu
yang sama mereka juga tidak datang ke mana-mana pejabat JPN untuk mengemaskini
status mereka. Oleh yang demikian, SPR
membuat keputusan untuk mengkategorikan 42,051 nama berkenaan sebagai pemilih
awam di bawah status yang diragui kesahihannya disebabkan ketiadaan maklumat
terkini tentang status mereka.
Berikutan
itu, sebagai langkah yang betul serta bagi menjamin hak rakyat selaku pemilih
berdaftar yang dijamin di bawah Perlembagaan, SPR tidak boleh memotong nama
mereka dari daftar pemilih sewenang-wenangnya tanpa pengesahan dari jabatan
yang berwajib iaitu JPN. SPR sebaliknya mengambil
inisiatif untuk mempamerkan ke semua 42,051 nama berkenaan selama tiga bulan
untuk memberi peluang kepada orang ramai khususnya pemilih untuk tampil
mengemaskini maklumat mereka di JPN dan SPR supaya nama mereka dapat
dikemaskini atau dikeluarkan daripada senarai pemilih awam ragu tersebut.
Dalam
tempoh pameran itu juga, SPR turut mengedarkan nama-nama berkenaan kepada Ibu
Pejabat semua parti politik di peringkat Parlimen dan DUN yang berkenaan di
seluruh negara untuk mendapatkan bantuan dalam usaha mencari pengesahan dan
maklum balas berhubung dengan kedudukan alamat dan status terkini pemilih
berkenaan. Walau bagaimanapun, sepanjang
tempoh tiga bulan pameran tersebut berlangsung, sambutan yang diterima oleh SPR
sama ada dari parti-parti politik atau orang ramai amat dingin. Pada 28 Mac 2012, JPN telah memberi maklum
balas kepada SPR bahawa melalui semakan yang terperinci dan berterusan oleh
mereka, jumlah pemilih diragui itu telah berkurangan kepada 40,803 orang. Ini berikutan terdapat di kalangan mereka
yang tampil ke JPN untuk mengemaskini maklumat kad pengenalan dan waris-waris
yang tampil dengan membawa bukti kepada JPN mengenai kematian ahli keluarga
atau saudara mara mereka.
Undang-undang
SPR tidak membenarkan mana-mana nama dalam daftar pemilih dipotong
sewenang-wenangnya tanpa pengesahan dari pihak JPN. Oleh yang demikian, nama 40,803 pemilih awam
ragu tersebut perlu terus kekal berada di dalam daftar pemilih bagi menjamin
hak mereka yang dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan. SPR hanya memotong nama-nama mereka daripada
daftar pemilih setelah mendapat pengesahan secara rasmi dari pihak berwajib
iaitu JPN sama ada mereka telah meninggal dunia atau hilang taraf
kewarganegaraan atau hilang kelayakan atas sebab-sebab lain seperti yang
diperuntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Oleh yang demikian, selagi pengesahan muktamad tidak diperolehi dari
JPN, ke semua nama 40,803 pemilih berkenaan perlu dikekalkan di dalam DPI.
No comments:
Post a Comment