Rakyat
Malaysia tidak kira apa jua keturunan dan fahaman politik telah menerima Rukun
Negara sebagai ideologi, falsafah, etika dan rukun hidup bermasyarakat dan
bernegara.
Secara
etimologi, ‘ideologi’ berasal daripada dua kata iaitu idea yang bermaksud
‘fikiran’, dan logos yang bermaksud ‘ilmu’.
Orang pertama yang mencipta istilah ideologi ialah Antoine Destutt de
Tracy (1754 – 1836).
Ahli
falsafah Perancis itu telah mencipta istilah ideologi pada 1796. Definisi yang diberikan ialah ideologi itu
merupakan ‘ilmu mengenai fikiran manusia yang mampu membentuk jalan menuju masa
depan’.
Dari
segi definisi, ideologi dapat diertikan sebagai gagasan, pemahaman, nilai dan
prakonsepsi sebuah kebudayaan dan masyarakat (rakyat) sesebuah negara. Justeru, ideologi dalam konteks ini dapat
dirumuskan sebagai dasar kenegaraan atau falsafah negara.
Dari
segi politik, ideologi dianggap sebagai ‘doktrin’. Doktrin adalah satu set kepercayaan yang
mempunyai ciri dan falsafah tertentu yang dipegang oleh kelompok atau golongan
tertentu sama ada dalam bentuk politik atau agama.
Rukun
Negara sebagai satu ideologi harus dilihat sesuatu yang visioner iaitu sesuatu
yang memiliki visi dan wawasan ke arah melahirkan masyarakat yang bersatu padu
dan mencipta kehidupan yang lebih demokratik berasaskan kepada lima prinsip
Rukun Negara.
Rukun
Negara mesti juga dilihat sebagai etika dan pegangan hidup bagi negara, dasar
kesatuan dan perpaduan bangsa serta pedoman bagi kegiatan hidup masyarakat
pelbagai kaum dan budaya di negara ini melalui pengalaman ‘nilai-nilai luhur’,
nilai-nilai murni, adab dan akhlak yang dapat membina ‘akal budi’ masyarakat
yang bertamadun.
‘Bangsa’
(Negara) yang mempunyai ideologi, falsafah dan etika kenegaraan akan dapat
mencorak pemikiran rakyat ke arah kecintaan dan kesetiaan kepada negara serta
dapat membina sebuah negara bangsa yang dihormati dan disegani.
SUMBER : Jabatan Hal
Ehwal Khas
No comments:
Post a Comment