Thursday, April 2, 2009

MINI BAJET 2009 (RM60 BILION)

MINI BAJET 2009 merupakan satu akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perbelanjaan bagi perkhidmatan untuk sebahagian daripada tahun 2009 dan bagi memperuntukkan jumlah wang itu untuk maksud-maksud yang tertentu bagi bahagian tahun 2009.

Walaupun negara-negara maju telah mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi yang begitu besar melebihi US$3 trilion, sejumlah besar digunakan untuk menyelamatkan institusi kewangan dan syarikat gergasi mereka, namun masih belum dapat memulihkan keyakinan para pengguna dan pelabur.

Ekonomi Malaysia telah mencapai pertumbuhan yang menggalakkan sebelum ini kerana kita berjaya meningkatkan perdagangan antarabangsa.

Kejatuhan mendadak pasaran global telah menyebabkan kejatuhan pasaran saham Bursa Malaysia. Ini memberi kesan negatif kepada sektor perkhidmatan yang biasanya berkembang pada kadar yang tinggi serta mempengaruhi sentimen pelabur dan pengguna.

Kerajaan yakin bajet asal 2009 yang memperuntukkan sejumlah RM206 bilion serta Pakej Rangsangan pertama yang berjumlah RM7 bilion dan Pakej Rangsangan Kedua ini bertujuan mengurangkan kesan penguncupan ekonomi global ke atas ekonomi negara.

Memandangkan senario ekonomi global yang meruncing, maka Pakej Rangsangan kedua ini perlu bersifat lebih komprehensif dan bersaiz besar yang menjangkau lebih banyak sektor ekonomi dan kumpulan sasaran.

Rangsangan ini bukan sahaja memberi tumpuan kepada usaha merangsang ekonomi dalam tempoh terdekat tetapi merangkumi juga inisiatif membina kapasiti ekonomi jangka panjang.

Ini bukanlah kali pertama kita menghadapi krisis. Negara telah menghadapi pelbagai rintangan dan cabaran terutamanya dalam tahun 1969, 1972, 1986 dan 1997. Setiap krisis itu telah kita atasi dengan jayanya dan ekonomi telah muncul lebih kukuh.

Langkah ini telah meningkat potensi pertumbuhan negara yang telah membawa kepada kejayaan kita mencapai pertumbuhan ekonomi setinggi 9% pada awal 1990an. Kerajaan akan memastikan kedudukan fiskal kerajaan akan kembali mapan.

Bagi membantu golongan penganggur, kerajaan akan mewujudkan sebanyak 163,000 peluang latihan dan penempatan pekerjaan di sektor awam dan swasta.

Kerajaan juga akan melaksanakan penempatan pekerjaan dan memberi insentif kepada majikan untuk mengambil dan melatih pekerja tempatan. Ini juga akan dapat mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing. Peruntukan sebnayak RM700 juta akan disediakan bagi tujuan ini.

Selain itu, sejumlah 2,000 peluang latihan dan penempatan pekerjaan akan disediakan di syarikat GLC terutamanya dalam sektor perkhidmatan seperti outsourcing, penerbangan, utiliti, kesihatan dan multimedia kreatif.

Wednesday, April 1, 2009

KONTRAK SOSIAL

Setiap rakyat Malaysia khususnya ahli politik seharusnya lebih sensitif terhadap perasaan dan sensitiviti pelbagai kaum di Malaysia bagi menjamin keharmonian dan kestabilan negara ini.

Politik Malaysia ternyata stabil dan rakyat seharusnya menghargai situasi ini. Oleh kerana hubungan kaum melibatkan sensitiviti ini maka peraturan asas yang disebut Kontrak Sosial telah disuntik ke dalam Perlembagaan Negara dan juga Perlembagaan Negeri.

Sekiranya ada di kalangan masyarakat yang cuba mempersoalkan mengenai Kontrak Sosial ini khususnya kedudukan dan keistimewaan orang Melayu, mereka terlebih dahulu perlu mengkaji sejarah pembentukan Negara Malaysia.

Kontrak Sosial merupakan persefahaman di antara kaum Melayu dan Bukan Melayu yang dicapai oleh pemimpin-pemimpin terdahulu yang bertanggungjawab membina negara ini.

Keunikan Malaysia ini tidak seharusnya dibandingkan dengan negara lain. Sebarang usaha mengubahnya akan membawa kesan negatif dan menjejaskan keharmonian negara.

Mempersoalkan status Kontrak Sosial hanya akan mengundang musibah kepada kestabilan sosial dan ekonomi negara. Kontrak Sosial telah memelihara rakyat sepanjang 51 tahun kemerdekaan negara. Maka tidak ada sebab untuk kita mempersoalkan statusnya.

Keharmonian dan kestabilan nasional yang dikecapi oleh setiap rakyat pada hari ini adalah bukti jelas kesan daripada persefahaman dan perasaan hormat menghormati di kalangan masyarakat berbilang kaum ini.

Kontrak Sosial merujuk kepada perjanjian yang dibuat oleh pemimpin terdahulu dan dimuatkan di dalam Perlembagaan. Kontrak Sosial boleh dirujuk di dalam Artikel 14-18 Perlembagaan, mengenai kewarganegaraan Bukan Melayu dan artikel 153 mengenai hak dan keistimewaan orang Melayu.
Pada 1956, Suruhanjaya Perlembagaan yang diterajui oleh Lord Reid telah bertanggungjawab menggubal Perlembagaan untuk kemerdekaan Tanah Melayu. Dalam proses tersebut, UMNO yang merupakan peneraju dalam Perikatan UMNO-MCA-MIC telah bersetuju bahawa kewarganegaraan adalah untuk seluruh rakyat di dalam Persekutuan yang telah membolehkan semua rakyat (di dalam Tanah Melayu) layak mendapat kewarganegaraan sama ada yang lahir di Tanah Melayu atau mereka yang memenuhi syarat dan bersumpah untuk taat setia kepada Tanah Melayu.

Pemimpin di dalam ketiga-tiga parti (UMNO, MCA dan MIC) telah bersetuju untuk menyelesaikan perbezaan di antara kaum dan mengemukakan satu suara kepada Suruhanjaya tersebut. Ini merupakan asas dan permulaan Kontrak Sosial di antara pemimpin UMNO dan MCA. MCA bersetuju agar hak keistimewaan orang Melayu dipertahankan dan sebagai balasan, UMNO pula bersetuju agar orang Cina dan lain-lain kaum Bukan Melayu diberikan taraf kewarganegaraan berdasarkan prinsip jus soli. Orang Cina juga dibenarkan untuk terus memainkan peranan utama dalam bidang ekonomi.

Kertas Cadangan Suruhanjaya Reid telah dikeluarkan pada 1957 dan kemudiannya dikaji dan dipinda oleh Suruhanjaya Kerja Tanah Melayu dan wakil Perikatan, Raja-Raja Melayu dan Kerajaan British di dalam sebuah mesyuarat di London. Ianya dikenali sebagai Perlembagaan Kemerdekaan. Yang Dipertuan Agong bertanggungjawab memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan memperkenankan kepentingan anggota masyarakat yang lain.

Sebelum pembentukan Persekutuan Tanah Melayu pada 1963, satu lagi proses Perlembagaan telah diusahakan dengan Borneo Utara (sekarang Sabah) dan Sarawak pada 1962. Daripada proses ini, lahir satu lagi Kontrak Sosial (termasuk Laporan Suruhanjaya Cobbold) yang sama dengan persetujuan pada 1956-57.

Teras di dalam Kontrak tersebut seperti yang dinyatakan di dalam memorandum yang diserahkan oleh Perikatan iaitu Islam dijadikan agama rasmi negara dengan tidak mengganggu dan menjejaskan agama-agama lain yang dianuti oleh orang Bukan Islam.

Perlembagaan Kemerdekaan jelas menjadi kerangka utama dalam pembentukan Perlembagaan Persekutuan 1963. Dokumen tersebut terus memelihara hak dan keistimewaan orang Melayu, bahasa Melayu dan agama Islam tanpa menjejaskan hak kaum lain.

Sebagai kesimpulannya, Perlembagaan yang diasaskan pada 1957 dan 1963 melalui perundingan dan persetujuan pemimpin-pemimpin terdahulu adalah berdasarkan Kontrak Sosial yang menjadi asas pembentukan negara.

Monday, March 30, 2009

UNDANG-UNDANG TUBUH NEGERI PERAK.

Seperti yang dijangka, PR bertubi-tubi menyalahkan tindakan Sultan Perak yang mereka dakwa bercanggah dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak dalam kempen mereka untuk menguasai dan menawan Bukit Gantang. Pengundi terus dikelirukan dengan teori-teori yang dikatakan benar tetapi sebaliknya teori-teori tersebutlah yang sebenarnya bercanggah dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.

Untuk makluman kita semua, terdapat beberapa seksyen di dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Perak yang membenarkan tindakan Sultan Perak tersebut. Antaranya ialah :

1) Seksyen 16 (6) - Baginda mempunyai kuasa tidak memperkenankan pembubaran DUN. Secara automatik jawatan Menteri Besar dan Jemaah EXCO gugur.

2) Seksyen 12 (1) & (2) - Perlembagaan Negeri Perak memberi kuasa kepada Sultan melantik Menteri Besar di kalangan orang Melayu dan beragama Islam.

3) Seksyen 16 (2a) - Sultan hendaklah melantik seorang Menteri Besar di kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri yang pada pendapatnya akan mendapat kepercayaan sebilangan besar ADUN lain.

4) Seksyen 18 (2a) - Kuasa melantik Menteri Besar.

5) Seksyen 7, Akta Tafsiran - Menguatkan lagi kuasa Sultan yang memegang, menjawat dan menjalankan fungsi-fungsi jawatannya.

6) Seksyen 71 (Perlembangaan Persekutuan) - Persekutuan adalah menjamin hak raja sesuatu negeri untuk mewarisi dan memegang, menikmati dan menjalankan hak-hak perlembagaan dan keistimewaan raja negeri itu mengikut perlembagaan negeri itu. (Ini bermakna kuasa budibicara Sultan Perak yang termaktub di bawah perlembagaan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak). Undang-Undang Tubuh Negeri Perak adalah kuasa mutlak dan sebenar yang tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

Justeru taktik PR yang memutarbelitkan isu ini bukan sahaja dilihat sebagai taktik yang mengelirukan malah taktik itu juga adalah lambang penderhakaan mereka terhadap Sultan Perak.

MENGENALI ISMAIL SAFIAN.

Calon BN dalam Pilihan Raya Kecil P059 - Parlimen Bukit Gantang ini merupakan anak watan yang lahir di Kampung Kubu, Bukit Gantang pada 27 September 1960. Perkongsian hidup dengan Puan Poziah Haji Noh telah dianugerahkan dengan lima orang cahaya mata.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Dato' Panglima Bukit Gantang dari 1967 hingga 1972 sebelum melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Tengku Menteri, Changkat Jering dari 1973 hingga 1975.

Seterusnya beliau menyambung persekolahan di Sekolah Menengah Dr. Burhanuddin, Taiping pada 1976 dan 1977 sebelum ke Sekolah Menengah Sains Pulau Pinang dari 1978 hingga 1980. Dari situ beliau berjaya menjejakkan kaki ke menara gading apabila diterima masuk ke Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang dari 1980 hingga 1984.

Beliau mula menabur jasa kepada rakyat sebaik sahaja melangkahkan kaki keluar dari menara gading apabila beliau berkhidmat sebagai guru matematik di Maktab Rendah Sains MARA, Taiping bermula 1985 hingga 1988.

Beliau kemudiannya berkhidmat sebagai Setiausaha Majlis Daerah Kerian dari 1988 hingga 1999 sebelum menjawat jawatan yang sama di Majlis Perbandaran Manjung dari 1999 hingga 2008. Beliau kemudiannya menyertai Majlis Perbandaran Kuala Kangsar dengan jawatan yang sama dari Mei hingga Julai 2008.

Kini beliau merupakan Pengarah Bahagian Sumber Manusia & Khidmat Pengurusan di Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam.

Beliau mula berjinak-jinak dengan dunia politik pada 1984 apabila dipilih sebagai Setiausaha Pemuda UMNO, Bahagian Bukit Gantang sebelum dilantik sebagai Setiausaha UMNO, Bahagian Bukit Gantang pada 1999.

Kecemerlangan beliau dalam UMNO turut menyebabkan beliau terpilih menjadi Timbalan Ketua UMNO, Cawangan Kampung Kubu, Ketua Penerangan UMNO Bukit Gantang dan Setiausaha Barisan Nasional, Bahagian Bukit Gantang.

Jasa dan bakti beliau dalam dunia politik dan sosial turut mendapat pengiktirafan apabila beliau dianugerahkan dengan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Majlis Daerah Kerian pada 1994, 1996 dan 1997. Beliau turut menerima Pingat Pekerti Terpilih (PPT) pada 1992, Pingat Ahli Mangku Perak (AMP) pada 1997, Pingat Ahli Mangku Negara (AMN) pada 2006, Pingat Bintang Cemerlang Melaka (BMC) pada 2006 dan Pingat Paduka Mahkota Perak (PMP) pada 2008.

KENAPA TIDAK BUBAR DUN PERAK?

Usai penamaan calon, maka bermulalah siri ceramah dan kempen semua calon yang bertanding. Bagi P059 - Parlimen Bukit Gantang, ketiga-tiga calon iaitu Ismail Saffian (BN), Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (PAS) dan Kamarul Ramizu Idris (BEBAS) cukup sibuk mendekati pengundi dengan cara dan pendekatan masing-masing bagi memenangi hati mereka.

Namun di kem pembangkang khususnya PAS, persoalan mengenai MENGAPA SULTAN PERAK TIDAK BERSETUJU UNTUK MEMBUBARKAN DEWAN UNDANGAN NEGERI KETIKA PROSES PERALIHAN KUASA dahulu masih menjadi agenda utama mereka. Ini jelas menunjukkan mereka tiada modal dan idea baru untuk dimomok-momokkan kepada pengundi.

Bagi membantu kita memahami situasi dan sebab mengapa Sultan Perak tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri Perak, mari kita ikuti penjelasan berikut.

1. Dari segi Undang-Undang Tubuh Negeri, Sultan Perak mempunyai kuasa-kuasa tertentu seperti berikut :
- Sultan boleh bertindak menurut budi bicaranya untuk TIDAK MEMPERSETUJUI PERMINTAAN BAGI MEMBUBARKAN DUN.

2. Dalam konteks pembentukan negara, pandangan rakyat semata-mata tidak boleh diambil kira kerana ia berasaskan kepada emosi dan persepsi. Pada kebiasaanya bukan berasaskan kepada perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri. (Perkara ini tertakluk pada perlembagaan dan undang-undang).

3. Sultan berlaku adil dengan mengambil kira suasana dalam menyelesaikan kemelut politik di mana Kerajaan Pakatan Rakyat telah hilang sokongan majoriti ADUN.

4. Sultan berlaku adil dengan bertemu 28 ADUN BN dan 3 ADUN BEBAS secara bersemuka satu demi satu untuk mendapatkan pendirian dan sokongan mereka terhadap BN.

5. Dalam hal ini, Sultan mempunyai 3 pilihan iaitu :

- Membubarkan DUN dan satu Pilihan Raya Kecil diadakan,
- Mengadakan undi tidak percaya terhadap Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, atau
- Mengenal pasti dan membenarkan parti yang mendapat sokongan majoriti untuk menubuhkan Kerajaan

Sehubungan itu, baginda memilih pilihan yang ketiga iaitu memilih BN untuk menubuhkan Kerajaan setelah baginda berpuas hati bahawa BN adalah parti yang mendapat sokongan majoriti.

6. Sultan Perak adalah seorang yang bijaksana, berilmu serta berpengalaman luas dalam bidang perundangan kerana pernah menjadi Ketua Hakim Negara. Jadi sudah semestinyalah segala keputusan yang dibuat oleh baginda telah dipertimbangkan dengan adil dan bijaksana serta mengikut lunas undang-undang.

Jadi sekiranya selepas ini kita masih dimomok-momokkan dengan isu ini, maka jadikanlah penjelasan ini sebagai benteng minda kita agar tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang.

Sunday, March 29, 2009

PENAMAAN CALON PRK P059

Proses penamaan calon telah berlangsung seperti yang dijadualkan iaitu pada 29 Mac 2009 di Dewan Majlis Perbandaran Taiping. Tiga orang calon bakal berentap pada Pilihan Raya Kecil P059 - Parlimen Bukit Gantang iaitu Ismail Saffian (BN), Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (PAS) dan Kamarul Ramizu Idris (BEBAS).

Ismail Saffian dilihat sebagai calon favourite kerana beliau merupakan anak tempatan dan terkenal sebagai individu yang benar-benar memahami senario dan permasalahan yang dihadapi oleh warga Bukit Gantang.

Latar belakang beliau sebagai Pengarah Sumber Manusia di Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal & Pembersihan Awam telah mendekatkan beliau dengan masyarakat dan sentiasa berusaha untuk menyelesaikan masalah mereka.

Antara pemimpin tertinggi BN yang turut hadir memberikan sokongan kepada calon BN ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin - Timbalan Presiden UMNO, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor - Setiausaha Agung UMNO serta beberapa menteri besar lain.

Dua bekas Naib Presiden UMNO iaitu Tan Sri Muhammad Muhd. Taib dan Datuk Seri Mohd. Ali Rustam turut mengiringi Ismail.

Ribuan penyokong dari semua parti komponen BN yang hadir sudah cukup menggambarkan sokongan padu rakyat khususnya warga Bukit Gantang kepada calon BN tersebut. Walau pun kehadiran mereka mencecah ribuan orang namun mereka tetap menjaga disiplin masing-masing dan tidak mencetuskan sebarang kekacauan sepanjang proses penamaan calon berlangsung.

TERIMA KASIH!!


Terima Kasih Pak Lah. Jasamu akan tetap abadi dalam kenangan.
 
Load Counter
massage chair